“Kabel saya hanya ada tuhan, dakwaan salah laku projek DBKL itu adalah Politik kotor” – Afdlin Shauki

“Kabel saya hanya ada tuhan, dakwaan salah laku projek DBKL itu adalah Politik kotor” – Afdlin Shauki

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki tidak menolak dakwaan dirinya terheret dalam kontroversi salah laku perolehan projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai RM4 juta, baru-baru ini, disebabkan permainan ‘kotor’ politik.

Afdlin mendakwa dirinya terkait dengan kontroversi itu mungkin disebabkan ada pihak tidak berpuas hati dengannya.”Bagi saya, dakwaan itu (kontroversi salah laku projek DBKL) bermotifkan politik. Dunia politik memang sangat kotor. Sebagai orang yang berada dalam politik, kita kena pastikan kelompok kita kecil. Apabila besar sangat, akan ada (pihak) yang tidak puas hati.

“Mungkin juga dakwaan ini timbul kerana ada yang iri hati atau tidak puas hati,” dakwanya pada sidang media program Raya Astro 2025 di sebuah hotel di sini, baru-baru ini. Bulan lalu, BERNAMA melaporkan tiada elemen jenayah berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat DBKL yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dilapor berkata, dapatan itu adalah hasil semakan terhadap dokumen yang dibekalkan DBKL pada 7 Februari lalu, berhubung pelaksanaan projek penerbitan kandungan dan siaran studio serta konti radio DBKL.

Mengulas dakwaan konon mempunyai ‘kabel’ kuat dalam kerajaan, Afdlin berkata, sejak awal lagi, ‘kabel’ yang dimiliki hanyalah berdoa kepada Allah SWT.

“Saya ucapkan terima kasih kerana mereka fikir saya ada kabel kuat. Tetapi, kalau kabel saya kuat, cerita ini (kontroversi salah laku projek DBKL), tidak akan keluar. “Kalau hendak sesuatu itu jadi jelas, mintalah kepada-Nya. Kabel saya dengan Allah… Itu paling kuat,” katanya.

Afdlin yang juga pengarah filem Harimau Malaya: The Untold Journey mengakui tidak dapat lari daripada rasa terkejut dan kecewa atas apa yang berlaku. Apatah lagi, dakwanya, dia tidak dapat memberi penjelasan bagi mengelak timbul salah faham.

“Apabila isu mula-mula timbul, saya ambil pendekatan berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Saya mahu beri laluan kepada pihak berwajib jalankan kerja mereka.

“Orang tuduh memang senang. Tetapi, apabila kita hendak lawan semula, orang luar akan pandang enteng. Jadi, saya diam dulu, dapatkan nasihat orang dalam parti dan mereka nasihatkan saya untuk berdiam diri,” dakwanya.

Afdlin juga mendakwa mengambil pendekatan melakukan siasatan sendiri dengan DBKL untuk memastikan kesahihan dakwaan terbabit. Hasil siasatan sendiri, dakwanya, jawapan diterima daripada setiap pihak adalah sama di mana dia mengikut tata kelola betul.

“Mereka beritahu saya, ada siasatan kerana wujudnya laporan. Tetapi, DBKL sendiri kata saya tidak salah. Saya ikut tata kelola dan tugas saya mencari dana untuk yayasan.

“Saya juga sudah bersedia untuk memberi kenyataan kepada SPRM. Tetapi, tahu-tahu, selepas solat di Masjid Negara, Azam umumkan saya tiada kaitan dengan kes itu,” dakwanya.

Sepanjang kontroversi tercetus, Afdlin mengakui ada segelintir rakan industri cuba menjauhkan diri. Namun, Afdlin tidak berkecil hati dan menganggapnya ruang untuk mengenali rakan sejati.

“Memang ada (rakan) yang tiba-tiba hilang. Mungkin takut dikaitkan dengan saya atau masih ragu-ragu. Tetapi ramai juga (rakan) yang hubungi dan beri kepercayaan mereka kepada saya. Saya tahu siapa kawan, siapa bukan,” katanya.

Kredit: Bharian

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )