JPJ perjelas tidak sita Lamborghini Aventador milik warga China, hanya saman pemandu

JPJ perjelas tidak sita Lamborghini Aventador milik warga China, hanya saman pemandu

KUALA LUMPUR,. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menjelaskan kereta mewah jenis Lamborghini Aventador yang dipandu lelaki warga China tanpa lesen tidak disita seperti yang dilaporkan sebelum ini.

JPJ WPKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemandu itu sebaliknya hanya dikenakan saman dalam Operasi Khas Bersepadu Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Bangsar, di sini semalam.

“JPJ WPKL hanya mengeluarkan saman kepada pemandu dan membenarkan penumpang berlesen sah membawa kenderaan berkenaan pulang.

“Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata kereta yang dipandu oleh lelaki berusia 28 tahun itu adalah antara 27 kenderaan yang disita dalam operasi bersepadu berkenaan.

Difahamkan lelaki yang bekerja sebagai pencipta kandungan media sosial itu dilaporkan memandu kereta miliknya untuk pulang ke rumah di Damansara Heights bersama teman wanitanya selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong.

Sementara itu di JOHOR, Pengarah JPJ Negeri Azmil Zainal Adnan berkata pihaknya mengeluarkan 7,592 saman atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 23,715 kenderaan sepanjang pelaksanaan Operasi HRA, dengan kesalahan tertinggi dikesan ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Kesalahan lain ialah tiada Lesen Vokasional, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit selain nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPJ Johor turut menyita 106 kenderaan atas kesalahan kerana tidak selamat untuk berada di jalan raya, dan Azmil berkata melalui analisis operasi, tahap kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya terhadap pematuhan peraturan keselamatan khususnya kenderaan persendirian, masih pada skala rendah.

Di PERLIS pula Pengarah JPJ Negeri Noraini Mohd Nawi berkata pihaknya mengeluarkan 1,341 notis atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 8,591 kenderaan sepanjang Ops HRA dengan kesalahan utama dikesan adalah berkaitan ketiadaan lesen dan insurans kenderaan, selain berkaitan aspek teknikal tayar yang haus berlebihan bagi kenderaan perdagangan.

Noraini berkata pihaknya juga melaksanakan Operasi Penyamaran Convert & Overt untuk mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat sepanjang tempoh itu dengan 15 notis saman dan 45 notis temu siasat dikeluarkan.

Beliau berkata JPJ Perlis turut mengeluarkan notis saman kepada tiga individu yang dikesan melakukan kegiatan ‘prebet sapu’ iaitu mengambil upah membawa penumpang tanpa kebenaran pada 5 April lepas, susulan aduan awam serta risikan di Stesen Keretapi Arau.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )