Jokowi tiba untuk lawatan kerja ke Malaysia
SEPANG,. Presiden Indonesia Joko Widodo tiba di Malaysia semalam, bagi memulakan lawatan kerja dua hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan lawatan rasmi pemimpin Malaysia itu ke republik berkenaan pada Januari lepas.
Pesawat khas yang membawa Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi bersama isterinya Iriana Joko Widodo serta delegasi, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira 3.40 petang.
Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyambut ketibaan Jokowi, yang turut disertai Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.
Jokowi kemudian memeriksa kawalan kehormatan setempat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Regimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Mohd Nor Zhafran Al-Ahmad.
Sempena lawatannya, Jokowi dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana di Putrajaya esok, selain menghadiri majlis santapan petang bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Jokowi dan Anwar turut dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian yang akan ditandatangani oleh wakil kementerian serta agensi berkaitan dari kedua-dua negara.
Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia ialah pada 2019, selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April.
Pada 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (US$29.55 bilion), peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (US$22.98 bilion) pada 2021.
–BERNAMA