JKKNNS laksana 33 program seni budaya dalam talian sepanjang PKP-PKPP

JKKNNS laksana 33 program seni budaya dalam talian sepanjang PKP-PKPP

SEREMBAN,. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan (JKKNNS) telah melaksanakan sebanyak 33 program seni budaya termasuk seminar secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlangsung.

Pengarahnya Mohd Radzi Omar berkata kesemua program berkenaan yang bermula dari 11 April sehingga 23 Jun adalah usaha dilakukan untuk menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan dalam kalangan penggiat seni yang terjejas ekoran pandemik COVID-19, melalui kaedah baharu.

Katanya ia melibatkan program seni antaranya pembelajaran tarian piring lambung, pemakaian busana dan aksesori tarian piring lambung, modul tari tarian bongai hitam manis, muzik caklempong serta seminar mengenai kostum serta busana dan adat perpatih.

“Kaedah baharu ini bertujuan untuk menjana kreativiti seni dalam kalangan penggiat seni di saat pandemik berlaku melalui pelbagai platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan Instagram. Kaedah seperti ini juga memberi kemudahan kepada peminat dan seluruh penggiat seni untuk menonton dan memberikan maklum balas secara langsung.

Alhamdulillah, program-program yang dilaksanakan itu mendapat tontonan dan maklum balas yang cukup memberangsangkan baik daripada penggiat seni mahupun masyarakat. Selain daripada itu, program ini juga dapat mempelbagaikan kaedah pengembangan seni budaya kepada masyarakat secara lebih terbuka dan tidak terhenti begitu sahaja,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata kesemua program yang dianjurkan itu turut mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Selain program yang berunsur hiburan, Mohd Radzi berkata pihaknya turut menganjurkan beberapa siri seminar ilmiah yang menampilkan beberapa tokoh budayawan dan kesenian dari Indonesia serta penglibatan daripada penggiat seni tempatan, yang membincangkan mengenai bagaimana program seni budaya boleh dilaksanakan ketika tempoh PKP dan PKPP berlangsung.

“Kita turut membincangkan bagaimana untuk membantu penggiat seni ini yang kebanyakan terjejas pendapatan berikutan COVID-19 untuk menjana pendapatan menerusi platform media sosial seperti YouTube.

Kita juga dalam perancangan untuk menganjurkan webinar yang akan menampilkan tokoh kesenian dan kebudayaan daripada pelbagai kaum di negara ini yang akan membincangkan mengenai penyatuan masyarakat menerusi seni dan budaya,” katanya.

Mohd Radzi berkata dalam usaha untuk terus menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan, pihaknya merangka program kesenian dan kebudayaan berskala besar bertajuk Apresiasi Tiga Wajah Dalam Satu dan Konsert Caklempong Ekstravaganza, yang akan dianjurkan sebelum hujung tahun ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )