JIM akan memudahkan proses permohonan pas pelabur

JIM akan memudahkan proses permohonan pas pelabur

PUTRAJAYA,. Jabatan Imigresen (JIM) akan memudahkan proses permohonan Pas Lawatan Sosial (Jangka Panjang) Untuk Pelawat Perniagaan Atau Pelabur Asing (Pas Pelabur) yang berkuat kuasa pada 1 April ini, kata Ketua Pengarah Datuk Zakaria Shaaban.

Beliau berkata ia termasuk sokongan oleh agensi pelaburan, proses semakan, kelulusan dan cetakan pas pelabur secara dalam talian melalui proses hujung ke hujung (E2E).

“Kemudahan ini dijangka menyokong dan meningkatkan rangsangan kepada ekosistem pelaburan di negara ini, di samping mengekalkan semakan keselamatan terhadap bakal pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata kemudahan itu akan membolehkan pelawat perniagaan dan pelabur asing dibenarkan berada di Malaysia dalam tempoh enam bulan dan boleh dilanjutkan sehingga enam bulan lagi, tertakluk kepada justifikasi dan keperluan pemohon, selain kemudahan visa berbilang kemasukan (MEV) turut diberikan kepada pemegang pas berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada 6 Mac lepas mengumumkan pas khas kepada pelabur atau kumpulan ekspatriat akan dikeluarkan mulai 1 April ini, bagi membolehkan mereka tinggal lebih lama di negara ini untuk urusan perniagaan dan pelaburan masing-masing.

Saifuddin Nasution berkata pas khas itu akan dikeluarkan melalui kaedah single window bagi memudahkan kemasukan golongan itu, dengan proses pengeluaran dilakukan secara elektronik.

Sebarang maklumat berkaitan perkara ini boleh diperoleh melalui pautan laman sesawang Bahagian Khidmat Ekspatriat, Jabatan Imigresen Malaysia https://esd.imi.gov.my/.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )