Jenazah ibu Dr Wan Azizah selamat dikebumikan
KUALA LUMPUR,. Jenazah ibu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datin Mariah Khamis selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini, kira-kira 11.15 pagi semalam.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 88 tahun di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang pada 2.45 pagi semalam.
Dr Wan Azizah menyifatkan arwah ibunya adalah tulang belakang kepada pencapaiannya sebelum ini.
“Beliau antara yang mendorong saya dalam (melaksanakan) insentif I-suri (sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri).
“Sebab itu saya ingat tiap-tiap ibu atau suri rumah yang menyumbang membangunkan sebuah keluarga itu, kita mesti hargai. Syurga di bawah tapak kaki ibu kan,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Al-Mustaqim Ampang.
Allahyarham meninggalkan lima orang anak. Dr Wan Azizah merupakan anak kedua.
— BERNAMA