
Jemaah Menteri Batalkan Projek Rintis WBB, Serah Kepada Kajian Lanjut – Dzulkefly
25 Januari 2025, / KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan untuk membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi memberi ruang kepada kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh mengenai pelaksanaannya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan tersebut dibuat setelah mempertimbangkan semua aspek dan pandangan yang ada.
“Bagi tujuan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Abu Bakar Suleiman,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa terma-terma rujukan jawatankuasa itu berkaitan dengan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu kerja, untuk memastikan ia memberi manfaat kepada semua pihak.
“KKM akan terus berusaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan adil, terutamanya bagi petugas kesihatan,” tambah beliau.
Keputusan ini dibuat selepas Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa KKM menarik semula pelaksanaan WBB, dengan dakwaan bahawa projek tersebut dilaksanakan tanpa penglibatan pihak-pihak yang berkepentingan.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menyuarakan kebimbangan mengenai WBB, yang dikatakan akan memperburuk kekurangan tenaga kerja yang ada serta memberi bebanan tugas berlebihan kepada doktor, sekaligus menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.