Jelajah Dunia Akhir BWF bertukar venue dari Guangzhou ke Bangkok

Jelajah Dunia Akhir BWF bertukar venue dari Guangzhou ke Bangkok

KUALA LUMPUR,. Nimibutr Arena di Bangkok, Thailand merupakan venue baharu bagi Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022, yang sebelum ini dijadualkan di Guangzhou, China.

Susulan perubahan venue itu, BWF dalam kenyataan hari ini berkata kejohanan tersebut akan berlangsung pada 7 hingga 11 Dis ini, iaitu seminggu lebih awal daripada yang ditetapkan sebelum ini.

“BWF, setelah berbincang dengan Persatuan Badminton China (CBA), bersetuju untuk mengubah lokasi venue berikutan pelbagai cabaran terkini situasi pandemik (COVID-19),” menurut kenyataan itu.

Menurut badan induk itu, senarai pemain yang layak untuk kejohanan bernilai USD1.5 juta (kira-kira RM6.82 juta) itu akan disahkan pada 22 Nov ini selepas Terbuka Australia.

Setakat ini, pemain negara yang berada dalam ranking lapan terbaik bagi kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir itu adalah beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi; Pearly Tan-M.Thinaah dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien (beregu wanita) dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran).

Bagaimanapun, perseorangan utama negara Lee Zii Jia, yang kini pada kedudukan kesembilan Road to Guangzhou itu, perlu memperbaiki ranking menerusi Terbuka Australia di Sydney untuk peluang melayakkan diri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )