Jelajah Asia sasar sambung siri jelajah pada September

Jelajah Asia sasar sambung siri jelajah pada September

KUALA LUMPUR,. Jelajah Asia kini berusaha untuk menyambung semula kalendar kejohanan 2020 pada September ini berdasarkan ramalan dan pelonggaran langkah-langkah penjarakan sosial di rantau ini.

Pesuruhjaya dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cho Minn Thant, berkata kelonggaran perjalanan antarabangsa secara berperingkat dan juga penghapusan tempoh kuarantin akan menentukan sama ada jelajah itu dapat diteruskan dalam skala penuh.

Menurut Cho, Jelajah Asia akan mengatur antara 10 dan 12 kejohanan dari September hingga Disember dan akan meningkatkan jumlahnya jika keadaan COVID-19 bertambah baik.

“Terdapat prospek jelajah ini akan ke China dan diakhiri dengan beberapa rantaian kejohanan termasuk Terbuka Hong Kong dan Terbuka Mauritius pada akhir tahun ini. Dalam tempoh ini, jika semuanya berjalan lancar, mungkin ada beberapa acara baharu yang akan ditambahkan ke dalam jadual.

“Sementara bagi Jelajah Pembangunan Asia (ADT), kami menyasarkan antara enam dan lapan kejohanan di Thailand, Indonesia dan Taiwan, sementara acara di Malaysia masih ditangguhkan,” kata Cho, dalam kenyataan di laman web rasmi Jelajah Asia, www.asiantour.com.

Kejohanan Terbuka Shinhan Donghae di Incheon, Korea Selatan, dari 10-13 Sept yang menawarkan hadiah wang keseluruhan berjumlah 1.4 bilion Won (kira-kira RM4.96 juta) bakal menjadi acara pertama selepas ditangguhkan akibat penularan pandemik COVID-19, Mac lalu.

Sementara itu, Cho berkata Jelajah Asia juga akan mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk menjaga kesejahteraan semua pihak termasuk pemain, kedi dan peminat ketika menganjurkan acara di masa depan untuk mengurangkan jangkitan COVID-19.

“Sekiranya kita perlu mengurangkan jumlah pelancong asing yang pergi ke negara tuan rumah, kita mungkin tidak menggunakan khidmat kedi persendirian, rombongan, dan staf sokongan. Ada kemungkinan hanya pemain dan kakitangan penting akan dibenarkan melakukan perjalanan.

“Sekiranya struktur khemah hospitaliti tidak dapat dilaksanakan kerana ia menarik ramai orang, kita mungkin perlu memberi peluang berisiko rendah kepada penaja, seperti tambahan acara pro-am. Langkah sementara ini diperlukan untuk memastikan kita dapat menyambung semula kejohanan kita tahun ini,” tambah Cho.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )