JDT kekal rekod tanpa kalah saingan Liga Super

KUALA LUMPUR,. Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melebarkan rekod kemenangan kepada tiga perlawanan selepas menang tipis 1-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Kemenangan ketiga berturut-turut itu menyaksikan skuad Harimau Selatan memintas sementara kedudukan pendahulu, Melaka dengan kutipan sembilan mata.

Penyerang import dari Brazil, Diogo Luis Santo menjaringkan gol tunggal perlawanan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84.

Naib juara Liga Super 2019, Pahang pula meraih kemenangan sulung selepas tiga perlawanan setelah menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Tok Gajah naik tiga anak tangga ke kedudukan ketujuh carta Liga Super.

Ivan Carlos meletakkan skuad Tok Gajah di hadapan setelah menolak masuk hantaran silang pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh pada minit ke-21, sebelum Herold Goulon menggandakan kedudukan untuk tuan rumah setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50.

Dalam saingan Liga Premier, Terengganu FC II (TFC II) merampas kedudukan pendahulu daripada Pulau Pinang setelah mengatasi Kuching FA 2-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching.

Pasukan pelawat membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi penyerang, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob yang bijak meloloskan diri dari perangkap offsaid, sebelum merembat masuk bola untuk menewaskan penjaga gol Kuching FA, Mohd Iqbal Mohd Suhaimi, namun pasukan tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi penyerang berbisa dari Brazil, Hudson Dias De Jesus.

Pemain pertahanan, Argzim Redzovic mengesahkan kemenangan ketiga-berturut-turut untuk Terengganu FC setelah menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89.

Pulau Pinang pula turun satu anak tangga ke kedudukan kedua setelah seri 1-1 dengan pasukan bawahan, Perak II pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak.

Pasukan pelawat membuka tirai jaringan pada minit ke-19 selepas sepakan Mohammad Amer Azahar ditepis keluar penjaga gol Perak II, Sozer Yaren Izzet, sebelum ditanduk masuk Anselmo Arruda Da Silva, sebelum pemain import dari Brazil, Bruno Luiz Pires Bezerra menyelamatkan maruah tuan rumah menerusi gol penyamaan pada minit ke-70.

Sementara itu, pertemuan pasukan ‘adik-abang’ menyaksikan Kelantan menundukkan Kelantan United 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Lazarus Kaimbi meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-34, hasil gerakan solo dalam kotak penalti, sebelum Felix Chidi Odili menanduk masuk gol kedua pada minit ke-83.

Negeri Sembilan pula meraih kemenangan sulung selepas tiga perlawanan apabila mengatasi UKM FC 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Igor Carneiro Luiz meletakkan skuad Rusa di hadapan pada minit ke-24, sebelum Nur Shamie Iszuan Amin mengesahkan kutipan tiga mata untuk skuad kendalian Sazali Saidun pada minit ke-60.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )