Jawatankuasa teliti sistem penyampaian perkhidmatan awam dicadang ditubuhkan – Muhyiddin Yassin

Jawatankuasa teliti sistem penyampaian perkhidmatan awam dicadang ditubuhkan – Muhyiddin Yassin

JOHOR BAHRU,. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengusulkan penubuhan sebuah jawatankuasa atau pasukan petugas, untuk meneliti dan mengubah suai sistem penyampaian perkhidmatan awam, demi pemulihan ekonomi negara.

Berucap pada Sesi Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Johor di sini semalam Muhyiddin berkata, langkah itu perlu demi memulihkan ekonomi negara dengan pantas susulan wabak COVID-19 dan satu tindakan mesti dilakukan, untuk melihat birokrasi dapat dianjak dalam situasi baru dan dalam keadaan baru.

“Setiap saudara adalah pegawai yang tertakluk kepada peraturan…setiap kerja yang kita uruskan ada perkara yang ditetapkan, ada pekeliling perkhidmatan, ada aturan berkaitan kewangan, soal pengurusan dan sebagainya.

“Saya tidak nafikan itu penting, tetapi kalau kita hanya berpandukan keadaan sebegitu dan tiada satu langkah baharu dibuat, saya takut bahawa urusan kita untuk memulihkan ekonomi…jangan cakap untuk menstrukturkan semula, ‘reform’ ekonomi kita tidak akan berlaku sepantas mana yang kita harapkan.

“Saya hendak usulkan kalau belum ada, di hadapan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, dibentuk sebuah jawatankuasa atau pasukan petugas, untuk meneliti bagaimana cara-cara yang telah kita guna pakai selama ini, dapat kita ubah suai tanpa mengkompromi aturan utama, dari segi kewangan dan sebagainya,” katanya.

Turut hadir, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Muhyiddin berkata, sekiranya para penjawat awam masih mengekalkan corak bekerja sedia ada, maka mereka tidak akan berjaya membantu memulihkan ekonomi negara, yang sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

“Johor mempunyai banyak destinasi pelancongan dan kemudahan riadah yang menarik. Kita perlukan pelabur untuk terus melabur dan kita memerlukan pelawat-pelawat, untuk mendokong industri pelancongan, yang tentu antara sektor yang teruk terjejas pada hari ini.

“Bila kita sudah mulakan operasi dan bekerja seperti mana kita biasa buat dalam keadaan ekonomi yang agak lembap, dan kita tak beri apa-apa bentuk dokongan untuk tentukan proses-proses yang diperlukan untuk membantu mereka ini disegerakan, contohnya pelesenan, kelulusan bangunan dan lain lain-lain lagi…saya kira saudara lebih faham, bahawa ini akan membawa kesan buruk kepada ekonomi Johor sebagai contoh dan Malaysia amnya.

“Sebab itu, untuk kembali semula dalam ekonomi agak rancak, ia memerlukan dokongan penjawat-penjawat awam. Saya mohon kerjasama untuk melihat cara lebih dekat bagaimana kita dapat bantu usahawan, pelabur dan usahawan kita, supaya mereka rasa dengan bantuan dan sokongan itu, maka ekonomi negara akan cepat pulih seperti sediakala,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan komited untuk terus meletakkan isu memerangi rasuah sebagai agenda utama, selain dalam masa sama menumpukan soal keselamatan negara.

“Sebagai penjawat awam, yang tidak boleh dielakkan ialah prinsip integriti. Kami di peringkat persekutuan komited untuk terus meletakkan isu memerangi rasuah sebagai agenda utama,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )