JAS perlu tambahan 3,000 penguat kuasa untuk tingkat pemantauan
PUTRAJAYA,. Jabatan Alam Sekitar (JAS) memerlukan tambahan 3,000 anggota penguat kuasa berbanding 1,100 penguat kuasa sedia ada dengan mengambil kira beban tugas dan jumlah kes pencemaran yang berlaku dalam negara, kata Ketua Pengarahnya Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar.
Pada sesi interaktif bersama media di sini hari ini, beliau berkata ini kerana bidang tugas JAS adalah lebih luas meliputi kawalan pencemaran udara dan air, pengurusan buangan toksik, serta kualiti air sungai dan air marin yang memerlukan lebih ramai anggota pemantauan dan penguat kuasa.
Beliau berkata JAS telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk tambahan anggota penguat kuasa itu untuk memastikan tugas pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih baik.
Penambahan bilangan anggota juga dapat membantu JAS untuk meneruskan pemantauan terhadap hampir 60,000 kilang dan bengkel yang berpotensi melakukan pencemaran udara dan air, memandangkan tahap kesedaran pemain industri masih belum mencapai tahap memuaskan, katanya.
Wan Abdul Latiff berkata sebanyak 29 daripada 672 sungai atau empat peratus sungai di Malaysia tercemar, dengan antara punca utama pencemaran sungai tersebut adalah dari ladang penternakan, industri, loji kumbahan dan penempatan nelayan serta setinggan.
Wan Abdul Latiff berkata JAS juga dalam proses untuk menambah bilangan stesen automatik bagi pengawasan kualiti air sungai berbanding 30 stesen ketika ini.
“Kita sedang meneliti dan juga dalam proses perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri dan juga mungkin operator loji rawatan air untuk mereka turut bersama kita memasang stesen automatik ini,” katanya.
Stesen itu bagi memantau kualiti air sungai dan akan memberi amaran awal jika berlaku insiden pencemaran air sungai.
— BERNAMA