Jaringan hatrik Cabrera bantu JDT raih kemenangan bergaya ke atas Perak

Jaringan hatrik Cabrera bantu JDT raih kemenangan bergaya ke atas Perak

KUALA LUMPUR,. Jaringan hatrik pemain import dari Argentina Gonzalo Cabrera, membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan selesa 7-0 ke atas Perak, pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.

Kemenangan kelima diraih juara bertahan Liga Super itu, menyaksikan mereka terus unggul di persada liga menerusi kutipan 16 mata selepas enam perlawanan (lima kemenangan dan satu keputusan seri).

Pada aksi berkenaan, Mohd Afiq Fazail meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-21, menerusi percubaan menarik daripada luar kotak penalti, sebelum Cabrera menggandakan kedudukan pada minit ke-35.

Cabrera meledak gol peribadi kedua, setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45. Pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin menghadiahkan sepakan penalti setelah pemain JDT Diogo Luis Santo, dijatuhkan pemain Perak Muhammad Rafiuddin Roddin.

Pemain muda Muhammad Ramadhan Saifullah Usman, terus menambah derita Perak menerusi gol keempat pada masa kecederaan, babak pertama perlawanan.

Cabrera meraih jaringan ketiga pada minit ke-63, disusuli dua lagi jaringan daripada Muhammad Safawi Rashid dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid, masing-masing pada minit ke-78 dan minit ke-83.

Terengganu FC (TFC) pula mengekalkan kedudukan kedua carta Liga Super walaupun tewas 0-1 kepada Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka. Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang import dari Nigeria pada minit ke-61.

Dalam pada itu, Selangor melonjak empat anak tangga ke kedudukan keempat carta Liga Super selepas bangkit daripada ketinggalan, dan mengatasi Sabah, 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pemain gantian Rodoljub Paunivic, mengejutkan Selangor menerusi jaringan pembukaan ke-65, namun pemain import dari Nigeria Ifedayo Olusegun, muncul wira skuad Gergasi Merah menerusi dua gol, masing-masing pada minit ke-72 dan minit ke-81.

Dalam aksi Liga Premier, Pulau Pinang naik ke atas tangga teratas, selepas menewaskan Negeri Sembilan hasil kemenangan 2-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh pemain import dari Brazil Casagrande, seawal minit keenam, dan pemain import dari Korea Selatan Lee Changhoon, pada minit ke-22.

Kuala Lumpur turut meraih tiga mata berharga selepas mengatasi Kelantan United FC, 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, hasil jaringan pemain import dari Brazil Paulo Josue, masing-masing pada minit ke-63 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Sarawak United FC dan UKM FC pula berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan pada aksi di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Kesemua perlawanan Liga Super dan Premier berlangsung tanpa penonton, sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa, dalam membendung penularan COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)