
Jangan pandang belakang, pencapaian sensasi Harimau Malaya terus ditagih
KUALA LUMPUR,. Kejayaan menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023 yang dianggap peminat sebagai pencapaian terbaik Malaysia dalam tempoh lebih empat dekad memberi nafas baharu kepada arena bola sepak tempatan.
Tanggal 14 Jun 2022 menjadi saksi semangat juang dan pengorbanan barisan pemain negara berjaya merealisasikan impian setiap peminat untuk melihat Malaysia kembali bersaing di kejohanan bola sepak berprestij Asia itu
Pada malam itu, pasukan negara bimbingan Ketua Jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon memastikan penantian penuh sengsara berakhir dalam suasana penuh emosi di gelanggang keramat skuad Harimau Malaya, Stadium Nasional di Bukit Jalil yang disaksikan 52,964 penonton.
Pan Gon yang dilantik pada Januari lepas bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Cheng Hoe, mengemudi pasukan negara menewaskan Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023, mengumpul keseluruhan enam mata di kedudukan kedua di belakang Bahrain.
Malaysia yang layak selaku antara lima naib juara terbaik kumpulan sebelum itu tewas kepada Bahrain 1-2 selepas membuka kempen kelayakan dengan langkah kanan apabila menundukkan Turkmenistan 3-1, kedua-dua aksi berlangsung di Bukit Jalil.
Pasukan negara diperkuatkan dengan 13 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), dua pemain masing-masing dari Petaling Jaya City dan Negeri Sembilan FC serta seorang pemain masing-masing dari Terengganu FC, Selangor FC, Sabah FC, Sri Pahang, SV Zulte Waregem kelab dari Belgium dan Choburi (Thailand).
Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.
Ketika penulisan ini dibuat, Pan Gon bersama 23 pemain yang hampir kesemuanya tidak beraksi pada kelayakan Piala Asia, sedang mengharungi saingan Kumpulan B Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura.
Tiada siapa dapat menafikan kejayaan layak ke Piala Asia ialah pencapaian terbaik pasukan negara tahun ini manakala Piala AFF wajar dianggap sebagai medan buat Pan Gon memperluas pencarian pemain bagi membentuk skuad terbaik ke Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di Qatar pada Januari 2024.
Peningkatan prestasi pasukan negara di bawah Pan Gon turut mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam ranking dunia apabila melonjak sembilan anak tangga dari tempat ke-154 pada awal tahun ke posisi ke-145 pada Disember.
Sayang sekali apabila pencapaian dicipta pasukan senior tidak berjaya menjadi inspirasi kepada skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan yang melalui tahun suram selepas tampil dengan prestasi kurang memberangsangkan dalam tiga pertandingan yang disertai.
Bermula dengan Kejohanan AFF B-23 di Kemboja pada Februari lepas, skuad bimbingan Brad Maloney terkandas di peringkat kumpulan sebelum pulang dengan tangan kosong pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada Mei selepas tewas dalam aksi penentuan pingat gangsa kepada Indonesia.
Sebulan kemudian, mereka gagal meraih sebarang kemenangan dalam saingan Kumpulan C Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan – tewas di tangan Korea Selatan 1-4, Thailand (0-3) dan Vietnam 0-2. Susulan itu Maloney meninggalkan pasukan secara persetujuan bersama pada Julai.
Bagaimanapun, kehampaan peminat terhadap skuad B-23 sedikit terubat dengan kejayaan dilakar skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan selepas muncul juara Kejohanan B-19 AFF dengan menewaskan Laos 2-0 pada final di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, Indonesia pada Julai.
Sementara itu, pasukan bola sepak wanita negara kekal pada tahap tidak memberangsangkan dari segenap aspek apabila hanya menyertai satu pertandingan iaitu Kejohanan AFF pada Julai, menyaksikan skuad kendalian Jacob Joseph meraih dua keputusan seri dan tewas tiga kali dalam saingan kumpulan.
Sebelum itu, mereka juga tidak membuat penampilan pada temasya Sukan SEA ke-31 susulan keputusan dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal di Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) Soleen Al-Zou’bi dari Jordan dilantik menjadi Ketua Jurulatih pasukan pada Disember menggantikan Jacob dengan harapan mampu memberi nafas baharu kepada bola sepak wanita negara.
Di peringkat domestik, Johor Darul Ta’zim terus berada pada tahap unggul apabila mencipta sejarah tersendiri meraih kejayaan “treble” buat julung kali selepas merangkul kejuaraan Piala Malaysia dengan menewaskan Selangor 2-1 pada final di Bukit Jalil, November lepas.
Skuad Harimau Selatan sebelum itu menyapu bersih trofi yang dipertandingkan tahun ini, susulan pencapaian memenangi saingan Piala FA dan Liga Super untuk kali kesembilan berturut-turut, selain meraih Piala Sumbangsih pada aksi pembukaan musim.
Kejayaan JDT dituruti JDT II yang merangkul kejuaraan Liga Premier dengan saingan liga kedua negara itu dihentikan sementara bermula musim depan dalam langkah penstrukturan Liga Malaysia pada 2023.
Penyerang import JDT dari Brazil, Bergson da Silva muncul penjaring terbanyak Liga Super dengan rekod 29 gol, sementara penjaring terbanyak Liga Premier menjadi milik pemain Kuching City FC, Abu Kamara dengan keseluruhan 11 gol.
Dalam pada itu, biarpun peratusannya rendah tetapi masalah tunggakan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan masih berlaku dalam era penswastaan kelab tempatan sehingga memaksa beberapa pihak antaranya Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) campur tangan.
Secara keseluruhan, 2022 merupakan tahun cukup bermakna buat bola sepak negara dan kejayaan layak ke Piala Asia 2023 akan menjadi pencetus kepada kehadiran lebih ramai pemain berbakat yang berlumba-lumba membuktikan kemampuan untuk mewakili Malaysia di pentas kejohanan tertinggi. – BERNAMA