
‘Jangan buat spekulasi insiden di Putra Heights’
SUBANG JAYA: Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau andaian berhubung insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, kelmarin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata masyarakat perlu memberi ruang secukupnya kepada pihak berkuasa membuat siasatan kejadian terbabit.
Beliau berkata, tindakan menerusi peruntukan perundangan sedia ada akan diambil ke atas mana-mana pihak yang dikenal pasti mengambil kesempatan atau membuat perkara yang boleh menimbulkan ketegangan.
Beliau menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memantau keadaan terbabit dari semasa ke semasa.
“Kita harap orang ramai mengelak daripada menyebarkan berita atau maklumat palsu supaya tidak mengelirukan orang ramai.
“Masyarakat yang mahu mendapatkan maklumat boleh mengakses di laman sesawang atau kenyataan media rasmi daripada jawatankuasa berkaitan.
“Ini bertujuan mengelak kekeliruan dan menimbulkan suasana tidak baik terutama kepada mangsa.
“Ini juga bentuk sumbangan kita kepada negara dengan mengehad dan memastikan tiada isu tidak berkaitan ditimbulkan.
“Tindakan berasaskan undang-undang boleh diambil ke atas mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau membuat sesuatu tidak baik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kebakaran besar paip gas di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).