Jalaluddin ikrar peruntukan 80 peratus masa dengan warga Wilayah Persekutuan

Jalaluddin ikrar peruntukan 80 peratus masa dengan warga Wilayah Persekutuan

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berikrar untuk memperuntukkan kira-kira 80 peratus masanya dengan mendampingi warga di tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Bercakap kepada pemberita, Jalaluddin berkata, untuk mencapai perkara tersebut, beliau telah memaklumkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) kerana mahu menumpukan perhatian yang lebih kepada rakyat terutama ketika dalam situasi hari ini.

“Saya mahu lihat setiap komuniti masyarakat termasuk di Projek Perumahan Rakyat (PPR), persatuan penjaja, bahawa ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian agar tiada kelompok masyarakat yang terkecuali daripada pembelaan kerajaan.

“Saya juga mahu memastikan bahawa masalah berkaitan dengan sosial, pendidikan dan perpaduan masyarakat terutama di Kuala Lumpur diberi perhatian agar mereka dibela dengan sebaik-baiknya,” katanya selepas merasmikan program Sepakat@Komuniti Parlimen Kepong dan Batu anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Kampung Melayu Kepong di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lim Ann Teck dan Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Kepong, Datuk Md Nor Hashim.

Jalaluddin berkata, pendekatan dengan turun bertemu masyarakat melalui program santai merupakan kaedah terbaik untuk mengetahui keadaan sebenar keperluan masyarakat dan komuniti di sesuatu tempat.

“Saya tengok bahawa program yang boleh saya dapatkan maklumat sebenar adalah melalui program-program santai dan turun tidak rasmi untuk berjumpa dengan beberapa kelompok dan persatuan yang akan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan kepada semua pihak agar sentiasa bersatu padu dan saling hormat menghormati di antara kaum demi menjayakan agenda Keluarga Malaysia seperti yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 20 penduduk yang dijangkiti dengan wabak COVID-19 serta empat buah rumah yang ditimpa bencana ribut baru-baru ini.

Jalaluddin turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Penduduk Kampung Melayu Kepong dan Surau Al-Hidayah bagi kegunaan komuniti setempat.

-WILAYAHKU

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )