Jadikan aplikasi Mysejahtera ‘rakan karib’ sepanjang PKPP

Jadikan aplikasi Mysejahtera ‘rakan karib’ sepanjang PKPP

KUALA LUMPUR,. Penggunaan aplikasi MySejahtera menjadi normal baharu buat masyarakat di negara ini sebagai antara kaedah bagi membantu kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM), dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di Malaysia sejak 28 April lepas.

Hari ini adalah hari ke-90 rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac dan kini, dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun, rakyat Malaysia sangat digalakkan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk membolehkan mereka melakukan penilaian kesihatan kendiri.

Aplikasi MySejahtera, satu instrumen penting bagi memperkasa orang ramai menerusi maklumat terkini COVID-19 dan nasihat kesihatan, akan membolehkan KKM mengambil tindakan yang cepat serta tepat untuk mengenal pasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat.

Antara komponen aplikasi ini ialah data harian dan maklumat mengenai kawasan yang mempunyai jangkitan COVID-19 selain membolehkan pengguna mengenal pasti hospital serta klinik terdekat untuk membuat pemeriksaan dan rawatan.

Selain itu, pengguna dapat menggunakan aplikasi untuk mengimbas kod QR dan mendaftar masuk di lokasi yang berkenaan sebagai alternatif kepada mengisi maklumat kontak rapat secara manual, selain merekodkan suhu sebagai syarat untuk memasuki sesebuah premis, sekali gus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

MySejahtera turut digunakan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memantau individu yang menjalani kuarantin di rumah termasuk mereka yang kembali dari luar negara selepas 10 Jun lepas.

Sehingga 12 Jun, kira-kira 2.5 juta orang yang menetap di negara ini memuat turun aplikasi MySejahtera.

Menyedari betapa pentingnya aplikasi MySejahtera dalam mengekang wabak COVID-19, kerajaan melakukan pelbagai usaha bagi menggalakkan masyarakat memuat turun aplikasi itu.

Antaranya, kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam e-dompet pengguna setelah mereka memuat turun aplikasi itu yang mana satu inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kepada golongan M40 dan B40 berumur 18 tahun ke atas seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun.

Oleh itu, jadikan kemudahan aplikasi MySejahtera sebagai “rakan karib” anda walau di mana jua anda berada, selain membantu mendapatkan maklumat mengenai rawatan kesihatan sekiranya mempunyai gejala atau tanda-tanda jangkitan COVID-19.

Selain mematuhi SOP PKPP, usaha rakyat Malaysia menggunakan aplikasi MySejahtera berpotensi membantu kerajaan memerangi dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )