Ivan, Sivasangari sasar juara kebangsaan

Ivan, Sivasangari sasar juara kebangsaan

KUALA LUMPUR,. Dalam pemburuan gelaran juara Kejohanan Skuasy Kebangsaan keempat berturut-turut, Ivan Yue tidak mengambil mudah cabaran daripada pemain lebih muda atau mereka dalam ranking lebih rendah.

Ivan, bakal berusia 30 tahun pada 15 Sept ini, agak berwaspada dengan kelebihan kecergasan pemain lebih muda selain setiap peserta dahagakan kemenangan untuk merebut gelaran juara kebangsaan di dalam kejohanan skuasy tempatan yang kembali di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini dari 6 hingga 11 Okt.

Ivan merupakan pilihan kejohanan untuk menjuarai gelaran perdana untuk kategori lelaki dengan ketiadaan pemain nombor satu negara Ng Eain Yow yang akan berlepas ke Bristol University untuk berlatih dengan seorang jurulatih di United Kingdom, Hadrian Stiff.

“Saya rasa saingan pada tahun ini lebih kurang sama buat setiap peserta kerana mereka tidak dapat banyak berlatih beberapa bulan lepas. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan banyak perbezaan, kami sebenarnya menjadi lebih perlahan dalam beberapa bulan kerana kami tidak dapat turun ke gelanggang.

Pergerakan dan kepantasan sudah pasti menurun dengan banyak begitu juga, rentak, kepantasan dan penghayatan permainan, ia akan mengambil masa. Sudah pasti saya mahu memenangi gelaran ini, tetapi saya perlu melakukan selangkah demi selangkah dan tidak tergesa-gesa mendapatkannya,” kata beliau kepada pemberita selepas sidang media mengenai kejohanan itu di sini hari ini.

Dengan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara baru-baru ini, pemain Selangor itu juga berharap keadaan akan kembali terkawal dan mengingatkan semua peserta supaya berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard sepanjang masa.

Sementara itu, dalam kategori wanita perdana, Juara 2018 S Sivasangari berazam untuk merampas balik gelaran juara selepas ditewaskan dalam separuh akhir oleh Rachel Arnold yang melangkah ke final tahun lepas.

Pemain berusia 21 tahun dari Kedah itu berkata beliau akan merasa senang hati untuk menjuarai kejohanan ini selepas kalah dalam separuh akhir dan tidak beraksi dalam sebarang kejohanan sejak Mac lepas kerana ancaman COVID-19.

“Sungguh mengecewakan apabila setiap pemain di luar sana beraksi dalam kejohanan Persatuan Skuasy Profesional (PSA), mereka boleh pergi ke mana sahaja tanpa sebarang isu tetapi kami, seperti saya dan Rachel dan semua (tidak boleh menyertai kerana sekatan perjalanan) dan menyaksikan perlawanan secara dalam talian.

“Ia sebenarnya membuat kami tertekan kerana kami tidak dapat mengumpul sebarang mata dan kehilangan ranking. Mudah-mudahan nanti kami boleh melakukan perjalanan ke kejohanan di luar negara. Bagaimanapun, adalah baik untuk ada kejohanan kebangsaan dan saya fikir peluang adalah 50-50 dalam divisyen wanita kerana kami tahu permainan satu sama lain … yang terbaik akan menang,” katanya.

Dalam final 2019, pemain nombor satu negara Low Wee Wern menewaskan Rachel untuk kejuaraannya buat kali ketiga selepas muncul juara pada 2012 dan 2014.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )