Isu TH hangatkan sidang

Isu TH hangatkan sidang

KUALA LUMPUR,. Isu berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) menaikkan suhu perbahasan dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat, semalam.

Gelanggang dibuka oleh Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika membentangkan usul menjunjung kasih titah diraja, dengan mendakwa menteri pada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menyalahgunakan kuasa untuk melepaskan hak TH membeli aset hartanah bagi membolehkan semua aset entiti berkenaan dilelong kepada pihak luar.

“Surat Tabung Haji bertarikh 3 Disember 2019 kepada Urus Harta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) yang ditandatangani oleh Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji mendedahkan menteri agama waktu itu meluluskan pengecualian hak penolakan pertama atau first right of refusal bagi 18 aset hartanah Tabung Haji yang sudah dipindahkan ke UJSB.

“Dengan bahasa mudah, menteri pada waktu itu menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 untuk melepaskan hak Tabung Haji membeli semula aset hartanah bagi membolehkan semua aset Tabung Haji berkenaan dilelong kepada pihak luar.

“Jika ini benar-benar dilaksanakan, hartanah Tabung Haji termasuk hotel-hotel Tabung Haji di beberapa lokasi strategik seluruh negara, seterusnya prospek keuntungan tinggi akan hilang buat selama-lamanya daripada pegangan Tabung Haji,” katanya.

Ia membuatkan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) bingkas bangun beberapa kali memohon untuk mencelah bagi memberi penjelasan isu TH yang dibangkitkan tetapi tidak dihiraukan Ahmad.

Untuk rekod Mujahid adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang bertanggungjawab ke atas TH ketika pentadbiran Kerajaan PH.

Tanpa keizinan pun, Mujahid terus bersuara dan mendesak Ahmad menarik balik istilah ‘dilelong’ yang digunakan kerana disifatkan sebagai unparliamentary atau bercanggah dengan peraturan Parlimen.

“Minta tarik balik perkataan ‘dilelong’ kerana unparliamentary. Menteri Agama (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) ada situ (dalam Dewan), dia boleh jawab. Laporan semua ada dekat dia,” katanya lantang.

Bahang isu itu turut disentuh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) ketika membahaskan titah diraja.

Senada dengan Ahmad mahukan isu TH disiasat dengan telus, Ketua Pembangkang itu bagaimanapun mengingatkan semua pihak supaya jangan sekadar menjadikannya alasan untuk mencari kesalahan lalu.

“Boleh dibuat satu siasatan yang bebas dan ini mungkin akan meleraikan keadaan dan kebimbangan serta bebanan kepada rakyat, yang penting bukan siasat sahaja tetapi menghukum dengan tegas mereka yang bertanggungjawab.

“Saya harap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan gunakan ruang untuk menjawab nanti, berikan pandangan yang benar, apa kecurangan yang berlaku kerana ini badan amanah umat Islam, amanah orang Melayu,” katanya.

Mujahid yang mendapat ruang mencelah berkata, Kerajaan PH berusaha menyelamatkan TH.

“Sejak PH mengambil alih pentadbiran, defisit TH membengkak, malah sejak 2014 Bank Negara sudah memberi amaran (berhubung pembayaran hibah).

“Bank Negara beri amaran aset lebih rendah dan hibah tidak boleh dibayar tetapi mereka (kerajaan terdahulu) terus bayar yang jelas menyalahi Akta TH.

“TH boleh tutup kedai jika bukan diselamatkan PH,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) yang juga bekas Pengerusi TH dalam celahannya meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu TH.

“Saya tidak mahu bercakap panjang lebar kerana kita tahu TH diwujudkan dalam Dewan yang mulia ini, bukan di bawah Bank Negara.

“Selama 22 bulan lalu, kita minta Kerajaan PH tubuhkan RCI, siasat 100 peratus (isu TH), tetapi tidak dibuat,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )