Isu penduduk Kg Setia Jaya, kerajaan masih tunggu cadangan boleh laksana kolej TAR

Isu penduduk Kg Setia Jaya, kerajaan masih tunggu cadangan boleh laksana kolej TAR

PUTRAJAYA,. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya masih menunggu beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan daripada kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) berkenaan penyelesaian isu penempatan penduduk Kampung Setia Jaya di Setapak.

Beliau berkata sebelum ini, pihaknya sudah berbincang dengan kolej TAR dan mereka bersetuju penduduk boleh terus tinggal di situ sehingga perkara berkaitan termasuk masalah penempatan diselesaikan.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kids Fest 2024, di sini hari ini.

Pada 19 Dis lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi memutuskan kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya untuk mengosongkan tanah yang mereka duduki itu dalam tempoh 18 bulan.

Susulan itu, Dr Zaliha telah mengadakan beberapa sesi pertemuan dengan wakil penduduk Kampung Setia Jaya dan Yayasan Pendidikan TAR sebagai pemilik tanah bagi menyelesaikan isu berkenaan demi kebajikan dan kesejahteraan penduduk.

Mengenai Kids Fest 2024, Dr Zaliha berkata penganjuran festival kanak-kanak yang buat julung kalinya itu bukan sahaja mampu menjadikan Putrajaya sebagai hab pelancongan malah sebagai hab animasi tempatan.

“Kewujudan festival ini sudah semestinya menyumbang kepada aspirasi Wilayah Persekutuan dalam mentransformasikan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai ‘smart city’ berteraskan pendigitalan,” katanya.

Anjuran KRU Arena dan Universal Music Malaysia dengan sokongan Astro Radio, Kids Fest 2024 diadakan pada 27 hingga 28 Jan ini di Padang Semarak, Taman Wetland.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )