Isu murtad: Bukan bidang kuasa mahkamah sivil – Hakim
KUALA LUMPUR,. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tiada bidang kuasa mahkamah sivil untuk menyemak keputusan mahkamah syariah dalam soal permohonan untuk keluar daripada agama Islam.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian melalui e-mel pada 15 Jun lalu selepas menolak permohonan seorang wanita berusia 32 tahun untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk murtad bagi menganuti ajaran Buddha dan Konfusianisme.
Dalam alasan penghakiman secara bertulis penuh yang diperoleh media semalam, Ahmad Kamal berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 121 (1A) mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berhubung sebarang perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah.
Katanya, intipati kes ini ialah permohonan wanita itu untuk semakan kehakiman terhadap keputusan mahkamah syariah yang telah menolak permintaannya untuk meninggalkan agama Islam.
Hakim itu berkata mahkamah syariah tidak salah dan tidak bertindak ultra virus dalam memutuskan permohonan wanita itu dan keputusan itu juga tidak menyalahi undang-undang.
“Bagi saya, tidak kira apa keputusan itu tetapi isu paling penting ia bukan bidang kuasa mahkamah sivil untuk mendengar perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah atau menyemak semula keputusan mahkamah syariah berhubung kes permohonan murtad,” katanya.
Pemohon tersebut adalah anak kepada seorang bapa mualaf dan ibu kelahiran Islam.
Wanita itu memohon perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah pada 2018 untuk mendapatkan perintah keluar daripada Islam.
Mahkamah tersebut kemudian memerintahkan wanita itu menghadiri 12 sesi kaunseling sebelum menolak permohonan untuk keluar daripada agama Islam pada 27 Julai 2020.
— BERNAMA