Inti pati ucapan PM semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK12

Inti pati ucapan PM semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK12

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Berikut antara inti pati ucapan Perdana Menteri.

*Gagasan dalam KSP RMK12 bermatlamatkan “Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi”.

*KSP RMK12 merestui usaha kerajaan untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.

*RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun.

*Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi 2023 hingga 2025 di bawah RMK12.

*Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12 dan menambah siling sebanyak RM15 bilion, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion.

*Peningkatan bertujuan untuk menambah keperluan bagi membiayai bidang keutamaan rakyat, memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.

*Dasar Inovasi Sosial akan dilancarkan pada November ini bagi menggalakkan daya cipta pada peringkat akar umbi.

*Kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan yang maksimum buat negara.

*Kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi peneraju dalam pasaran halal antarabangsa dengan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion pada 2025.

*Malaysia akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) ke-15 di Kuala Lumpur pada Disember ini bagi mencerakinkan permasalahan dalam usaha Malaysia mempelopori peningkatan amalan sistem kewangan Islam yang syumul.

*Kerajaan sedia dana RM346 juta dalam tempoh RMK12 untuk menarik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi.

*Kerajaan akan menyediakan RM60 juta dana pembiayaan peluang kedua kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan inovatif dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

*Kebijakan perindustrian mengikut geografi akan diberikan penekanan termasuk Projek Ladang Air Manis di Kulai, Johor dan projek Taman Biopolimer Kertih, Terengganu.

*Kerajaan telah lulus peruntukan RM1.1 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2025 dalam usaha memperkasa keselamatan dan memperoleh manfaat daripada potensi pembangunan ekonomi rentas sempadan.

*Kerajaan bertekad untuk merapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dengan bandar, daripada 0.57 pada tahun 2022 kepada 0.67 pada 2025.

*Pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak akan terus diberikan tumpuan.

* Projek pembangunan sistem Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan naik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan Felda Sahabat Sabah dengan kos RM195 juta akan dilaksanakan.

* Lebih banyak projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak. Setakat ini, 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek di Sabah.

* Sebuah pusat darah wilayah akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak.

*Sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga.

*Kerajaan akan memperkukuh penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat melalui Reformasi Perlindungan Sosial yang sedang dikaji.

*Bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan.

*Satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

*Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 berkaitan pengisytiharan pemunya manfaat sedang disemak semula bertujuan untuk memperkukuh ketelusan pemilikan saham.

*Dana wakaf akan diwujudkan menerusi kerjasama agensi berkaitan dengan Yayasan Wakaf MADANI sebagai pendekatan baharu dalam membangunkan ekonomi Islam.

*Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia akan diluncurkan dengan tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia bagi mereka yang menganggur dan terlibat dalam sektor pekerjaan tidak formal.

*1,200 klinik daif di seluruh negara akan dinaik taraf untuk tempoh 2023 hingga 2025.

*Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan.

Tidak hanya menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan pendapatan rakyat, Perdana Menteri berkata kerajaan juga memberi penekanan terhadap kesejahteraan rohani rakyat menerusi Pembudayaan Masyarakat MADANI serta pengukuhan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan juga menjadi keutamaan kerajaan. Justeru, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menjamin usaha bersepadu antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil dalam menangani isu ini,” katanya.

Mengenai isu perumahan rakyat, Anwar berkata peralihan daripada konsep pemilikan kepada konsep tempat tinggal dengan memperluas Skim Sewa untuk Beli bagi membolehkan lebih ramai kumpulan sasar dapat memiliki rumah.

Menyentuh ketersediaan bakat masa hadapan, beliau berkata kerajaan akan mempergiat usaha menstrukturkan semula pasaran buruh termasuk memperkenalkan model gaji progresif, meningkatkan penyertaan 60 peratus tenaga kerja wanita serta pemerkasaan Orang Kurang Upaya dalam meningkatkan akses kepada pekerjaan yang akan disepadukan dalam portal MyFutureJobs..

Dalam usaha memantapkan sistem pendidikan negara, Anwar berkata Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan dilancarkan bagi melahirkan pelajar berkemahiran digital bagi menghadapi Era Revolusi Industri 4.0, selain memperkukuhkan lagi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital,” katanya.

Sementara itu, Perdana Memberi berkata kerajaan akan mengoptimumkan kawalan keselamatan negara menerusi pelaksanaan projek seperti menaik taraf pusat kawalan operasi dan pembinaan baharu pangkalan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Kerajaan juga akan menaik taraf dan pembinaan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di pintu masuk terpilih dan pembinaan baharu pos keselamatan ATM di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia; dan pembangunan pangkalan tentera laut di Bintulu, Sarawak.

Dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan tata kelola perkhidmatan awam, Anwar berkata kerajaan beriltizam untuk memperkenalkan dua anjakan utama iaitu Tatakelola dan Rangka Kerja Institusi, serta Perundangan Berkaitan Rasuah bagi memulihkan imej Malaysia di mata antarabangsa serta mengangkat martabat sebagai negara bermaruah dan antirasuah.

“Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti akan diperkenalkan sebagai panduan tata kelola bebas rasuah kepada semua entiti, baik dalam sektor awam mahupun swasta. Kerajaan juga menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Bagi memperkemas jentera perkhidmatan awam, beliau berkata Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) ditubuhkan untuk membantu menyelesaikan urusan tertangguh dan menyegerakan pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )