Insentif kerajaan penting untuk pacu penggunaan LNG di Malaysia

Insentif kerajaan penting untuk pacu penggunaan LNG di Malaysia

KUALA LUMPUR,. Sokongan kerajaan melalui penyediaan insentif atau bantuan kewangan amat penting dan perlu ada untuk industri perkapalan dalam memacu penggunaan gas asli cecair (LNG) di Malaysia.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan Gas LNG Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Shamsairi Mohd Ibrahim berkata banyak negara jiran telah mengambil langkah untuk menyediakan insentif dan bantuan kewangan untuk menjadikan sektor perkapalan lebih baik dan hijau.

“Kami berharap kerajaan akan segera bertindak tanpa berlengah lagi,” katanya pada Persidangan Perkapalan Hijau yang dianjurkan sempena Minggu Maritim Malaysia 2022.

Bagi syarikat minyak negara itu pula, beliau berkata Petronas sentiasa mengintai peluang kerjasama untuk membangunkan ekosistem yang mampan dalam mempromosikan LNG sebagai bahan api pilihan dalam industri.

‘’Kami tidak tidak boleh melakukan ini secara sendirian. Keseluruhan rantaian nilai perlu bekerjasama. Kami sedang giat berusaha ke arah membangunkan rangkaian global rantaian bekalan bunkering LNG dengan pengendali pelabuhan dan penggiat industri,’’ katanya.

Shamsairi berkata Petronas juga sedang mempergiatkan usahanya menceburi bidang teknologi rendah karbon, antaranya dengan memperkasakan kompleks LNGnya sendiri.

Ia turut merancang menutup loji turbin gas lama apabila ia telah mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui 90 megawatt menjelang 2024.

Beliau berkata Petronas menyasar untuk mengurangkan 70 juta tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )