Influenza: Anggota perubatan ditempatkan di pintu masuk Melaka

Influenza: Anggota perubatan ditempatkan di pintu masuk Melaka

KUALA LUMPUR, 18 Jan — Berikutan penularan wabak influenza ketika ini, Jabatan Kesihatan negeri Melaka mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan anggota perubatan di dua pintu masuk bagi melakukan saringan terhadap pelancong tempatan dan luar negara.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Low Chee Leong berkata dua pintu masuk berkenaan adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam dan Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan di Taman Kota Laksamana.

“Melaka merupakan negeri pelancongan dan saringan itu bagi mengesan individu yang mengalami simpton demam atau influenza di dua pintu masuk berkenaan dalam mengekang wabak ini.

“Setakat ini, saringan ke atas pelancong adalah negatif influenza atau tiada simptom demam dan kes infuenza di Melaka adalah terkawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Melaka Sihat 2020 di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 31 kes influenza A melibatkan 29 murid, seorang kanak-kanak prasekolah dan seorang guru perempuan dikesan berlaku di Melaka sehingga 5 Jan lepas.

Sementara itu di PERAK, jumlah pelajar dijangkiti influenza meningkat kepada 99 orang berbanding 94 semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Pendidikan negeri, pelajar paling ramai dijangkiti adalah di daerah Kinta iaitu 47 orang, diikuti Bagan Datuk (19); Larut Matang dan Selama (14); Manjung (8); Kuala Kangsar (empat); Perak Tengah (tiga); Kerian (dua) dan masing-masing satu kes di Hilir Perak dan Batang Padang.

Katanya jumlah sekolah terlibat juga meningkat daripada 55 semalam, kepada 58 hari ini dengan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti) kekal menjadi satu-satunya sekolah yang ditutup sejak Isnin lepas.

Semesti ditutup selepas 10 pelajar disahkan positif influenza A (H1N1) pada 11 Jan lepas dan ia dijangka dibuka pada Isnin depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )