Inflasi Perubatan Meningkatkan Tuntutan Insurans Kesihatan

Inflasi Perubatan Meningkatkan Tuntutan Insurans Kesihatan

KUALA LUMPUR: Peningkatan berterusan inflasi kos perubatan telah menyebabkan tuntutan terhadap insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) meningkat, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau menjelaskan, untuk mengatasi kesan inflasi ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil langkah interim yang akan memberi sokongan sementara kepada pemegang polisi, di mana 80% pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan kurang daripada 10%.

Langkah-langkah interim tersebut termasuk pengagihan pelarasan premium akibat inflasi tuntutan perubatan yang akan berkuat kuasa sekurang-kurangnya tiga tahun, sehingga akhir tahun 2026. Selain itu, penangguhan pelarasan premium juga diberikan selama satu tahun bagi pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum MHIT.

“Pemegang polisi yang telah terjejas dengan kenaikan premium pada 2024 boleh menghubungi syarikat insurans atau pengendali takaful untuk mengaktifkan semula polisi mereka dengan premium yang diselaraskan,” tambahnya.

Amir Hamzah berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai keuntungan syarikat insurans nyawa sejak 2018 dan penyelesaian untuk mengatasi kenaikan premium insurans perubatan yang melambung tinggi.

Beliau juga memaklumkan bahawa purata keuntungan tahunan industri insurans dan takaful antara 2018 hingga 2023 adalah RM4.4 bilion daripada pengendali insurans hayat dan takaful keluarga (ITO).

Dalam pada itu, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus melaksanakan reformasi kesihatan secara menyeluruh, dengan fokus kepada penyelesaian isu inflasi kos perubatan dan caj hospital swasta. Ini termasuk penerapan model pembayaran Diagnostic Related Group (DRG) dan peningkatan ketelusan kos ubat-ubatan serta perbandingan kos perubatan yang biasa.

“Langkah-langkah tambahan untuk mengatasi inflasi kos perubatan di hospital swasta sedang dibincangkan untuk penyelesaian jangka panjang,” katanya.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )