Industri penghantaran makanan dijangka meningkat sehingga RM1.59 trilion pada 2024

Industri penghantaran makanan dijangka meningkat sehingga RM1.59 trilion pada 2024

SHAH ALAM,. Industri perkhidmatan penghantaran makanan secara dalam talian di negara ini dijangka terus meningkat sebanyak 17.9 peratus atau RM1.59 trilion menjelang tahun 2024.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup berkata penghantaran makanan dari restoran kepada pengguna menyumbang nilai terbesar tahun ini iaitu sebanyak RM588.9 juta berbanding RM236.4 juta bagi segmen pelantar kepada pengguna (platform-to-consumer delivery).

Jelas beliau, industri penghantaran makanan di bawah ekonomi gig tersebut seharusnya bertunjangkan kepada konsep pendigitalan.

“Unjuran daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa sektor ekonomi ini memang akan berkembang, dan kita jangka sektor ini memang berkembang.

“Jadi, apabila kita membentangkan rancangan ekonomi Malaysia pada bulan Disember nanti, dan pelan pemulihan ekonomi, kita akan mengambil langkah-langkah untuk kerajaan memberi sokongan kepada sektor ini.

“Bukan sahaja ekonomi gig, tetapi juga dari segi keselamatan pekerja… mungkin (ia) boleh dibentangkan supaya bidang ekonomi ini terus berkembang,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Projek AEON Rider di AEON Mall, di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau ketika membacakan ucapan mewakili Menteri Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menambah, Statista Market Forecast (2020) menunjukkan nilai pasaran industri perkhidmatan penghantaran makanan secara dalam talian di negara ini mencecah AS$192 juta (RM825.3 juta) membabitkan 6.2 juta pengguna.

“Berikutan penularan COVID-19 di negara kita ini, ianya telah mengubah cara hidup masyarakat kepada suasana norma baharu dimana kebanyakan aktiviti dilakukan secara dalam talian termasuk pesanan makanan,” katanya.

Selain itu, Arthur berkata krisis kesihatan yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini menyebabkan ekonomi negara terjejas teruk.

Jelas beliau, kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur mengikut unjuran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mei lalu.

Terdahulu, sebanyak 300 buah motosikal disumbangkan oleh pasar raya terkemuka negara bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat COVID-19.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )