Industri maritim teguh akan lonjak pertumbuhan ekonomi, keselamatan

Industri maritim teguh akan lonjak pertumbuhan ekonomi, keselamatan

KUALA LUMPUR,. Industri maritim yang kukuh bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan ekonomi malah juga akan memastikan keupayaan Malaysia untuk melindungi kepentingannya dan bertindak balas secara berkesan terhadap kecemasan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata penekanan dan meningkatkan tanan maritim negara akan memberi impak positif kepada kemakmuran ekonomi dan keselamatan negara.

“Dalam dunia yang saling terhubung masa kini, pengedaran barangan keperluan yang cekap di seluruh Malaysia adalah penting. Trend global terkini menyaksikan banyak negara mengutamakan pertumbuhan tanan domestik masing-masing.

“Penting untuk kita meningkatkan keupayaan perkapalan kita bagi memperoleh rantaian bekalan yang boleh dipercayai dan cekap,” katanya ketika menyempurnakan perasmian perjalanan dan persinggahan sulung kapal kontena, MV MTT Bintangor di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, pada Sabtu.

Loke menegaskan pengangkutan barangan keperluan yang cekap antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat adalah penting.

Beliau juga berkata memperkukuh sektor maritim akan membantu mengurangkan defisit imbangan pembayaran, terutama dari segi kos pengangkutan barangan dan insurans, dengan mengekalkan nilai ekonomi dalam sempadan Malaysia.

“Kerajaan mengesahkan sokongannya terhadap industri perkapalan domestik, bertujuan meningkatkan kesalinghubungan antara pelabuhan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata MTT Shipping Sdn Bhd telah melakar pencapaian penting susulan kejayaan kapal kontena yang baru dibina, MV MTT Bintangor.

“Ketibaan kapal ini menandakan kemajuan ke arah matlamat maritim kita, dan komitmen MTT Shipping untuk meningkatkan kapasiti perkapalan domestik adalah dipuji.

“Acara ini juga memperingati pemerolehan MTT Shipping bagi kapal baharu ke-15, dengan rancangan untuk sembilan lagi kapal menjelang akhir 2024,” katanya.

Beliau berkata kapal itu bukan sahaja membuktikan pertumbuhan MTT Shipping malah juga mengukuhkan sektor maritim Malaysia.

“Hari ini adalah detik penting bagi industri perkapalan di Malaysia, mempamerkan daya tahan dan pertumbuhannya,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )