Industri kreatif Malaysia masih belum dimanfaat sepenuhnya

Industri kreatif Malaysia masih belum dimanfaat sepenuhnya

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR,. “Pengaruh atau Fenomena BTS’’ Kumpulan K-Pop terkenal Korea Selatan terhadap ekonomi negara itu yang memberi pulangan melebihi AS$3.6 billion jelas terbukti — tidak semestinya ia harus sentiasa melibatkan alat, pengeluaran dan jentera. Sebaliknya, industri kreatif mempunyai semua yang diperlukan untuk menjana pendapatan negara, dengan syarat ia hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Menyentuh mengenai industri ini di dalam negara, industri kreatif dilihat lebih kepada “eloklah ada” dan bukannya “perlu ada”.

Sumbangan industri ini masih lagi sedikit iaitu sekitar 2.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak lima tahun lepas.

Hakikatnya, bukanlah kerana negara ketiadaan bakat.

Buktinya, penyanyi/pencipta lagu Malaysia Yuna, pelakon Chew Kin Wah, yang kini melebarkan kerjaya lakonannya ke Indonesia, pelakon Tan Sri Michelle Yeoh atau bahkan pelukis/penyair Latiff Mohidin, yang karya mewahnya amat dicari oleh pengumpul seni dan ini baharu segelintir.

Bakat Malaysia diperoleh untuk pelbagai industri berkaitan digital dan teknologi, terutama dalam industri filem antarabangsa dan semua ini atas usaha agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Tetapi situasi ini mungkin akan lebih baik sekiranya ada dasar dan pembiayaan yang lebih mantap, terutama pada saat-saat mencabar yang turut mempengaruhi keseluruhan sektor, termasuk industri kreatif.

Menurut Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), 93 peratus daripada golongan artis dan pekerja seni dan budaya terkesan secara negatif oleh COVID-19 dan 70 peratus daripada mereka hampir atau hilang punca pendapatan sepenuhnya.

MEMULIHKAN INDUSTRI KREATIF

Walaupun terdapatnya perbincangan menggesa agar kerajaan membantu meningkatkan sumbangan industri kreatif terhadap ekonomi sejak beberapa tahun lepas, sebenarnya, apa yang diperlukan ialah lebih banyak usaha untuk menjadikan persekitaran tempatan lebih kondusif untuk seni.

Sudah tiba masanya untuk memikirkan semula strategi kerajaan dalam merancakkan lagi industri kreatif, kata pengarah festival Joe Sidek pada Forum Ekonomi Kreatif 2021 yang julung kali diadakan pada awal Oktober, bersempena Belanjawan 2021.

Forum ini dianjurkan oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd, cabang pelaburan kerajaan untuk memacu industri kreatif.

Joe berkata industri kreatif tidak pernah diberi kesempatan atau peluang untuk mencartakan perkembangannya sendiri dan memohon agar diberikan ruang untuk berkembang.

“Tak perlu Citrawarna. Itulah perkara pertama yang harus kita lakukan.

“’Apa yang benar-benar menarik sekarang ialah disebabkan COVID-19, semua agensi kerajaan mengadakan perbincangan, dialog dan wacana (dan) saya rasa kerajaan harus memikirkan semula … buat kad laporan mengenai persembahan seni dan budaya sejak 30 tahun lepas. Kita benar-benar sudah banyak menghabiskan duit untuk itu,” kata Joe.

Citrawarna adalah festival tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), yang menggabungkan pelbagai komponen, termasuk pertunjukan jalanan, rutin tarian dan perwakilan budaya.

Dalam pada itu, Joe, yang merupakan penyokong kuat seni Malaysia turut memaklumkan Singapura telah mewujudkan sebuah ekosistem untuk mengkaji masalah sistemik industri kreatifnya serta mengadakan satu program percukaian untuk membantu industri ini.

“Artis Malaysia terlalu bergantung kepada geran kerajaan dan melepaskan kemarahan kalau tidak mendapatkan bantuan, sedangkan Singapura telah mewujudkan satu ekosistem untuk memantau masalah sistemik.

“Mereka melihat kepada percukaian agar (mereka) yang terbabit bekerja keras untuk mendapatkan penaja sendiri tanpa memerlukan bantuan kerajaan,” katanya sambil menambah kerajaan Malaysia perlu mencari satu struktur agar wang tidak dibazirkan.

Joe juga berkata perlu ada insentif untuk mendapatkan lebih banyak perusahaan turut serta bagi menyokong industri kreatif.

PEKERJA KREATIF DI BAWAH AGENSI

Sementara itu, artis Marini Ramlan menekankan perlunya untuk menyelaraskan industri kreatif dan meletakkannya di bawah satu agensi memandangkan pada masa ini, industri berkenaan agak ‘’berselerak’’ kerana ditempatkan di bawah kementerian yang berasingan.

“Saya juga merasakan bahawa kami berada di mana-mana – artis dan kreatif. Mereka wujud di setiap pelusuk. Kalaulah kita dapat tempatkan satu keseluruhan industri kreatif seperti satu agensi yang mewakili kepentingan setiap orang dalam setiap kapasiti, dari seni hinggalah ke video, – itu barulah orang kreatif.

Marini yang merupakan seorang pelukis turut merasakan Korporat Malaysia boleh melakukan lebih banyak perkara untuk membantu industri kreatif berkembang maju.

“Saya dapati banyak dana daripada korporat biasanya untuk penyelidikan dan pembangunan serta pemasaran. Saya berpendapat mereka harus diberikan insentif ini sekurang-kurangnya setahun sekali untuk melakukan projek kreatif kerana mereka juga memerlukan suntikan kreatif,” kata Marini.

KERJASAMA SWASTA- INDUSTRI

Sekiranya seni sememangnya adalah jiwa bangsa kita, apa yang boleh dilakukan untuk membangun dan mempromosikannya? Bagaimana penyertaan korporat dalam bidang seni dapat ditingkatkan sehingga ejen dalam ekosistem dapat memainkan peranan yang lebih adil dalam landasan negara kita?

Naungan seni dalam kalangan Korporat Malaysia dan Bank Negara Malaysia semakin mendapat tempat selama bertahun-tahun dengan koleksi karya seni utama mereka.

Korporat Malaysia juga telah menubuhkan yayasan untuk menguruskan pembiayaan dan kolaborasi dengan pengamal seni dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menghidupkan semula bidang seni.

Banyak inisiatif telahpun dilaksanakan oleh sektor swasta seperti KathaKata oleh Yayasan Maybank dan dikendalikan dengan kerjasama pertubuhan kebudayaan, PUSAKA.

Pada tahun 2018, Yayasan Maybank telah mengagihkan RM524,000 untuk segmen seni dan budaya.

Sementara itu, cabang dermawan Sime Darby Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan Sime Darby Property Bhd – Yayasan Sime Darby adalah satu lagi usaha yang diambil oleh sektor swasta untuk membantu antara lainnya, industri kreatif.

Yayasan ini telah menyumbang sejumlah RM27.95 juta sejak 2009 kepada industri untuk menghubungkan peluang bagi industri seni dan budaya, menyokong 309 seniman/artis dan melatih 20,893 individu melalui inisiatif peningkatan kemampuan sejak 2010.

Pelaksanaan pelaburan lestari/mampan dalam industri kreatif juga termasuk dalam kategori persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pelaburan lestari dianggap sebagai istilah payung untuk pelaburan yang mencari pulangan kewangan yang mencukupi, serta kesan positif jangka panjang terhadap masyarakat dan persekitaran.

Rasionalnya ialah, matlamat-matlamat ini sebaliknya akan menyumbang dengan melindungi warisan budaya dan memupuk kreativiti.

Penglibatan berterusan antara sektor swasta dan industri kreatif diperlukan untuk melonjakkan industri ini lebih jauh, dan agar industri kreatif tidak terlalu bergantung kepada geran dan pembiayaan/dana kerajaan.

Pengamal kreatif dan Korporat Malaysia juga perlu duduk bersama dan merundingkan situasi yang boleh memberikan manfaat bersama.

SUMBANGAN INDUSTRI KREATIF KEPADA KDNK

Menurut Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Uzir Mahidin, sumbangan industri kreatif Malaysia terhadap KDNK adalah 2.0 peratus sejak lima tahun lepas dan kini menggaji sekitar satu juta orang.

Banyak lagi yang perlu dilakukan tatkala kita melihat negara-negara jiran menunjukkan sumbangan 5.0 peratus hingga 7.0 peratus kepada KDNK masing-masing. Pastinya, mesti ada sesuatu yang dapat dilakukan untuk melonjakkan angka 2.0 peratus itu menjadi angka yang lebih disegani.

Menurut MyCreative Ventures Sdn Bhd, terdapat tiga perkara penting yang perlu diberi perhatian supaya industri itu dapat melepaskan diri daripada keadaan yang terbantut atau menjadi semakin buruk.

Ketiga-tiga perkara penting itu ialah suntikan modal untuk pertumbuhan ekonomi; penyebaran saluran penjualan dan pemasaran secara meluas; dan peningkatan infrastruktur untuk aktiviti pembangunan/pengembangan, pengeluaran dan pengedaran.

Suntikan modal memerlukan sejumlah sumber kewangan. Ia adalah penggerak utama yang memacu ekonomi. Sumber dana utama biasanya adalah geran kerajaan, wang persendirian, bank dan pelabur ekuiti.

Industri kreatif adalah contoh industri berisiko tinggi kerana ketidakpastian potensi pendapatan bagi industri berkenaan.

Atas sebab ini, bank, pemodal teroka dan pelabur ekuiti swasta menjauhkan diri daripada perniagaan industri kreatif, memandangkan ketidakpastian potensi pendapatan bagi industri ini.

EKONOMI KREATIF SEMASA ERA COVID-19

Di sinilah munculnya MyCreative. Cabang pelaburan kerajaan ini telah ditubuhkan pada bulan September 2012 dengan tujuan untuk memacu industri kreatif melalui pendanaan strategik menerusi pelaburan hutang atau ekuiti dalam syarikat-syarikat kreatif Malaysia.

Sebanyak RM200 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan 2012 bagi membantu meningkatkan kepentingan industri kreatif kepada ekonomi negara.

MyCreative, yang termasuk Cendana, juga diberi mandat untuk melaksanakan dan menggerakkan Pelan PENJANA untuk Industri Kreatif, melalui pelbagai skim dan inisiatif seperti Geran Acara Langsung dan Program Digital Velocity, yang merangkumi latihan pemasaran dan promosi digital, bantuan kesalinghubungan dan khidmat nasihat

Sementara itu, dalam cadangan Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen pada 6 November, peruntukan sebanyak RM15 juta yang akan diuruskan oleh Cendana dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih daripada 5,000 pengamal seni dan budaya.

Namun, produser filem dan televisyen, peraih pendapatan terbesar dalam industri kreatif, mengeluh kerana “diketepikan” dan peruntukan RM15 juta itu tidak memberi kesan kepada industri ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )