Industri bas ekspres hilang pendapatan sejak PKP

KUALA LUMPUR,. Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA) mendakwa industri pengangkutan bas ekspres ketika ini hilang pendapatan sejak menamatkan perkhidmatan pada 20 Mac lalu.

Presidennya, Tajudin Mohd. Yunus berkata, impak itu diterima selepas pengusaha bas ekspres berdepan dengan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac lepas.

“Secara keseluruhan, pengusaha bas ekspres telah menghentikan perkhidmatan sejak 20 Mac lalu selepas arahan dikeluarkan pada 18 Mac lalu.

“Sejak itu pendapatan kami adalah kosong daripada tarikh tersebut hingga sekarang. Sebelum ini ada syarikat yang boleh dapat pendapatan RM20,000 hingga RM50,000 bergantung kepada jumlah bas yang dimiliki.

“Ketika ini, nasib lebih 1,100 pemandu bas terjejas apabila mereka tidak bekerja namun pengusaha bas masih perlu membayar gaji mereka selain 300 kakitangan lain,” katanya kepada dalam satu kenyataan di sini.

PEMBAWA yang ditubuhkan pada tahun 1982 di Johor Bharu kini memiliki jumlah ahli berjumlah 18 syarikat meliputi 747 bas dan jumlah keseluruhan pekerja seramai 2,614 orang.

Tajudin menambah, industri pengangkutan bas ekspres ketika ini diibaratkan seperti kais pagi makan pagi untuk meneruskan kelangsungan operasi syarikat setiap hari.

Jelas beliau, industri pengangkutan bas ekspres merupakan satu perniagaan yang semakin sukar kerana perlu mendapat titik pulangan modal (BEP) sekurang-kurang RM1,500 ke RM2,000 sehari.

Namun jelas beliau, ada syarikat yang hanya mampu memperoleh BEP sekitar RM500 untuk menampung kos operasi yang tinggi.

“Senario industri perniagaan sangat mencabar kerana sukar bagi pengusaha mendapat keuntungan. Jika ada pun, hanya untung yang sedikit sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Lebih teruk apabila tiada pendapatan ketika ini untuk menanggung liabiliti yang besar seperti pembiayaan bas, hutang peminjam dan membayar gaji kakitangan,” katanya.

Mengulas keadaan bas ekspres yang tidak bergerak sejak 20 Mac lalu, Tajudin berkata, pemilik bas akan memanas enjin kenderaan itu setiap pagi bagi mengelak kesan sampingan kepada penyelenggaraan pada masa akan datang.

Tajuddin turut berharap agar PKP tidak disambung selepas 14 April ini bagi mengembalikan operasi industri kembali seperti biasa.

Jelas beliau, ini kerana bas ekspres merupakan pengangkutan awam yang popular bagi tempoh perjalanan jauh melibatkan pelbagai golongan.

“Jadi PEMBAWA memohon orang ramai duduk rumah dan patuh kepada PKP fasa kedua ini kerana kita ingin melihat statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KMM) agar kes positif baharu dan kematian berkurang setiap hari,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )