INDONESIA MASTERS; Zii Jia belum pasti menyertainya – Hendrawan

INDONESIA MASTERS; Zii Jia belum pasti menyertainya – Hendrawan

KUALA LUMPUR,. Kelibat jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia,. pada kejohanan badminton Indonesia Masters masih menjadi tanda tanya berikutan kecederaan belakang badan dialami pada perlawanan akhir Terbuka Hylo 2021 di Jerman, pada Isnin.

Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan berkata pasukan masih memantau keadaan semasa juara All England 2021 itu dan keputusan sama ada beliau mengambil bahagian atau tidak akan ditentukan selepas menilai tahap kecergasan pemain itu hingga saat akhir.

“Zii Jia sudah mencuba sebaik mungkin, tiada perbincangan tentang taktik dan strategi kerana Zii Jia juga penat secara mental. Ia adalah satu pengalaman baharu baginya, bagaimana dia boleh meneruskan dan menguruskan kepenatan.

“Mengenai kecederaan belakangnya, dia ada beberapa hari untuk berehat. Kami akan mengambil keputusan pada saat akhir dan jika dia belum pulih sepenuhnya, mungkin dia tidak menyertai kejohanan pertama, Indonesia Masters,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zii Jia yang juga pilihan kedua Terbuka Hylo terpaksa menarik diri akibat kecederaan dialami pada set penentuan sekali gus menyaksikan pemain bukan pilihan dari Singapura Loh Kean Yew menjuarai kejohanan berlangsung di arena Saarlandhalle di Saarbrucken.

Indonesia Masters pada 16-21 Nov adalah kejohanan pertama daripada keseluruhan tiga kejohanan secara berturut-turut di Indonesia dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Indonesia Masters akan diikuti dengan Terbuka Indonesia pada 23-28 Nov dan Jelajah Dunia Akhir dari 1-5 Dis. Ketiga-tiga kejohanan di Indonesia itu dijadual diadakan di Bali.

Selepas tiga siri kejohanan itu, tumpuan peminat badminton dunia terarah kepada Kejohanan Dunia 2021 berlangsung di Huelva, Sepanyol dari 12-19 Dis.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )