Individu tidak bergejala turut dikesan positif Covid-19

Individu tidak bergejala turut dikesan positif Covid-19

PUTRAJAYA,. Seramai empat pesakit positif Covid-19 yang tidak mengalami sebarang gejala seperti demam, batuk dan sakit tekak dikesan pada Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, disebabkan perkara itu, semua individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 menjalankan ujian saringan.

“Kita sudah kesan empat kes terawal. Mereka yang tidak bergejala juga boleh dikesan positif Covid-19.

“Empat pesakit tidak bergejala itu dikuarantin dan diasingkan di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 40 peratus kes positif Covid-19 yang direkodkan setakat ini datang dari kumpulan kluster tabligh.

Peratus selebihnya disumbangkan oleh kluster kecil termasuk individu yang pulang dari luar negara, katanya.

“Jumlah saringan membabitkan kluster jemaah tabligh iaitu perhimpunan di Masjid Seri Petaling, adalah seramai 18,826 setakat ini.

“Bilangan sampel yang diambil adalah sebanyak 15,380. Kes positif adalah sebanyak 1,407 kes, manakala kes negatif adalah sebanyak 10,000 kes.

“Jumlah yang masih belum dapat keputusan saringan adalah sebanyak 3,973 kes. Kita menjangkakan kira-kira 3,400 orang masih belum disaring,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )