Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia meningkat 1.0 peratus pada Sept, 2020

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia meningkat 1.0 peratus pada Sept, 2020

KUALA LUMPUR,. Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 1.0 peratus tahun ke tahun pada bulan September 2020, dipacu oleh pertumbuhan positif 4.3 peratus dalam indeks pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bagaimanapun berkata, indeks perlombongan dan indeks elektrik, masing-masing mencatatkan penurunan 9.6 peratus dan 2.1 peratus pada bulan berkenaan.

IPP terdiri daripada tiga sektor utama iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.

“Output sektor perlombongan menguncup 9.6 peratus pada bulan September 2020 disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-9.7 peratus) serta indeks gas asli (-9.5 peratus),” kata beliau.

Output sektor pembuatan meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun pada September 2020 berbanding pertumbuhan 2.2 peratus pada Ogos 2020, disokong oleh kenaikan produk peralatan elektrik dan elektronik (9.8 peratus), makanan, minuman dan tembakau (4.9 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.2 peratus).

Sementara itu, output sektor elektrik menguncup 2.1 peratus tahun ke tahun pada bulan September 2020.

IPP bagi suku tahun ketiga 2020 merekodkan pertumbuhan 0.8 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya, disebabkan oleh kenaikan 3.1 peratus dalam indeks pembuatan.

Bagaimanapun, indeks perlombongan dan indeks elektrik masing-masing merekodkan penguncupan 6.5 peratus dan 2.8 peratus.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )