
Imigresen serbu pusat cuci kereta, 12 warga Bangladesh ditahan
PUTRAJAYA,. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 12 warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki pas atau dokumen yang sah selepas menyerbu sebuah stesen minyak di kawasan Lebuhraya Petaling Jaya, Selasa lepas.
Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh berusia antara 25 dan 35 tahun kerana pelbagai kesalahan termasuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63 dan melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat-syarat pas.
Beliau berkata operasi membabitkan 17 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada 12 tengah hari susulan aduan orang awam berhubung kehadiran warga asing itu.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan daripada orang awam berhubung warganegara asing yang bekerja di premis tersebut disyaki tidak memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi berkenaan membabitkan 17 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada 12 tengah hari.
Katanya, semua warga asing itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut.
–BERNAMA