Imam, siak, guru kafa dan takmir terima sumbangan khas Isnin ini
PUTRAJAYA,. Bayaran sumbangan khas sebanyak RM600 secara one-off kepada imam, siak, guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) serta takmir akan dibuat mulai Isnin ini (17 April), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menerusi kenyataan media hari ini, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas sesi perbincangan bersama antara Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini.
Katanya, bantuan khas berkenaan adalah sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb lepas.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa menghargai jasa bakti para murabbi ummah yang mendidik masyarakat selain berharap penyaluran sumbangan khas ini dapat memberi keceriaan kepada golongan ini dalam membuat persiapan sambutan Aidilfitri,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika mengumumkan berita gembira itu dilaporkan berkata kerajaan bersetuju memberikan sumbangan khas RM600 kepada 70,000 imam, siak, guru KAFA serta takmir yang membabitkan peruntukan lebih RM40 juta.
— BERNAMA