Hoe Yean tewaskan Welson, layak secara merit ke Hanoi

KUALA LUMPUR,. Perenang muda meningkat naik negara Khiew Hoe Yean layak secara merit ke Sukan SEA Hanoi, Mei depan selepas mengungguli acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-64, petang semalam.

Hoe Yean mengesahkan slot ke Vietnam selepas mencatat masa 3:50:56 saat (s) sekali gus mengatasi catatan 3:52.65s ditetapkan Persatuan Renang Malaysia (MS), pada hari pertama kejohanan yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Lebih manis, Hoe Yean yang mewakili Kuala Lumpur berjaya mengetepikan cabaran bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 di Manila, Welson Sim yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 3:57.88s.

Welson yang mewakili Sarawak merupakan pemegang rekod kebangsaan bagi acara itu dengan catatan 3:49.29s yang dilakukan pada Kejohanan Terbuka NSW State di Sydney, Australia pada Mac 2019.

Ketika ditemui pemberita, Hoe Yean, 19, sama sekali tidak menyangka mampu memenangi acara itu.

“Berasa terkejut apabila berjaya meraih emas hari ini.

“Kejayaan ini hasil kerja keras dilakukan kerana sememangnya saya menyasarkan untuk layak ke Sukan SEA,” katanya.

Tempat ketiga acara itu milik Jayden Tan yang mewakili Kuala Lumpur dengan mencatat masa 4:01.95s.

Sementara itu, dalam acara 100m kuak dada wanita menyaksikan perenang negara, Phee Jinq En yang mewakili Selangor meraih emas dengan catatan masa 1:10:50s.

Jinq En menewaskan Tan Rouxin yang mewakili Johor yang meraih perak dengan catatan 1:14:65s, manakala gangsa diraih Elsa Eow mewakili Kuala Lumpur dengan catatan 1:17.75s.

Pencapaian Jinq En itu melayakkan beliau ke Sukan SEA Hanoi setelah mengatasi had kelayakan 1:10.70s.
Kejohanan empat hari itu berlangsung hingga Ahad ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )