HFMD: Selangor rekod 4,383 kes setakat hari ini

SHAH ALAM,. Sebanyak 4,383 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Selangor setakat hari ini, kata Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 103 kluster wabak itu telah dilaporkan melibatkan 497 kes dengan 95 peratus daripadanya melibatkan kluster di taska, tadika serta pusat jagaan harian.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada kematian dilaporkan daripada penyakit yang banyak menjangkiti kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun itu.

“Berikutan trend peningkatan kes HFMD ini, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menggesa orang ramai khususnya pengusaha serta penjaga kanak-kanak untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti sentiasa memastikan kebersihan premis terutama lantai, bilik air dan peralatan yang digunakan kanak-kanak.

“Selain itu pihak yang terbabit perlu membuat saringan di pintu masuk premis, sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan ketika menguruskan kanak-kanak, memastikan lampin pakai buang dibuang dalam tong yang bertutup serta melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berdekatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu juga, JKNS turut menasihati ibu bapa kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD supaya tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam, mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan sentiasa membersihkan permainan anak-anak.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (E71) yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )