Hawana 2022 platform perkukuh ekosistem kewartawanan negara – Annuar

KUALA LUMPUR,. Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 bukan sahaja sebagai pengiktirafan peranan wartawan tempatan malah platform untuk memperkukuh ekosistem kewartawanan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata Hawana 2022 yang bakal berlangsung pada 29 Mei di Melaka akan dihadiri wartawan dan pengamal media tempatan selain disertai wakil dari beberapa negara jiran termasuk Indonesia yang membuka ruang untuk pertukaran ilmu serta pengalaman dalam bidang itu.

Menurut Annuar, Hawana juga adalah pengiktirafan tertinggi kepada pengamal media yang amat berperanan penting dalam membantu pembangunan negara bangsa.

“Tugas dan peranan bidang kewartawanan ini amat sinonim dengan membantu pembangunan negara, perjuangan negara dan negara bangsa…kalau kita boleh meraikan banyak profesion lain, adalah tidak wajar kita tidak memberikan pengiktirafan tertinggi kepada wartawan kita.

“Misalnya, Hawana yang boleh dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga hari dengan pengisian merangkumi semua aspek dan elemen dunia kewartawanan yang boleh membangkitkan pemahaman masyarakat yang lebih luas terhadap peranan serta dunia kewartawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pengamal Media di sini hari ini yang turut dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Majlis bagi meraikan pengamal media dan wartawan turut dihadiri ketua-ketua agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta ketua pengarang organisasi media tempatan.

Hawana 2022 dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob manakala Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) dan Bernama akan menjadi penggerak utama penganjuran Hawana 2022 yang turut melibatkan organisasi, persatuan dan pengamal media yang lain.

Sementara itu, Annuar turut menyarankan agar agensi media tempatan membentuk lebih banyak kerjasama profesional dengan pelbagai agensi berita antarabangsa khususnya negara serantau bagi meningkatkan nilai tambah kepada ekosistem kewartawanan negara.

Beliau berkata kejayaan Bernama memeterai perjanjian kerjasama dengan agensi berita Vietnam adalah pencapaian yang membanggakan selain perlu diperluas dan dicontohi.

“Media kita (tempatan) tak boleh hanya berpandukan sesama sendiri semata-mata…saya mahu lihat lebih ramai wartawanan kita menjalani penempatan dengan media luar supaya kita lihat perkembangan media luar selain bertukar idea, pengalaman dan bahan berita. Kerjasama dengan media luar juga dapat memperdalam lagi ilmu kewartawanan negara. Rangkaian kerjasama seumpama itu perlu dilakukan segera,” katanya.

Annuar berkata Bernama misalnya sudah menjalin kerjasama dengan media Indonesia serta Vietnam dan beliau amat berharap lebih banyak kerjasama dengan media dari pelbagai negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )