Hati-hati dengan kegiatan kutipan derma fasa dua PKP – Polis Labuan

Hati-hati dengan kegiatan kutipan derma fasa dua PKP – Polis Labuan

LABUAN,. Polis Labuan mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan kegiatan penipuan yang mendakwa menjalankan kutipan derma untuk membantu mereka yang terjejas berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelaku didakwa menggunakan alasan PKP untuk mengutip wang daripada orang awam.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad meminta sesiapa yang didekati individu atau wakil yang mendakwa mengutip derma untuk tujuan tersebut, melaporkan perkara itu di balai polis berdekatan.

“Kita telah mengenal pasti individu dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengumpul derma tanpa permit yang bertujuan membantu golongan terjejas ketika Fasa Dua PKP …kita beri amaran keras agar mereka yang terlibat supaya segera menghentikan kegiatan atau menerima padah,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Farid berkata dua lelaki yang sedang minum arak di belakang lot kedai di satu kawasan kediaman telah ditangkap kerana melanggar arahan PKP pada awal pagi Ahad.

Katanya, dua lelaki berusia 20-an itu memberi alasan yang tidak munasabah ketika ditemui oleh pihak polis di kawasan lot kedai Taman Perumahan Mutiara pada jam 2.55 pagi.

Mereka akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )