Hari Malaysia: Kukuhkan persaudaraan kaum, hayati semangat penubuhan Malaysia – TPM

Hari Malaysia: Kukuhkan persaudaraan kaum, hayati semangat penubuhan Malaysia – TPM

KUALA LUMPUR,. Seluruh rakyat Malaysia diajak bersama-sama memperkukuhkan ikatan persaudaraan serta keakraban kaum yang pelbagai di negara ini sebagai usaha menghayati dan meraikan penubuhan Malaysia dengan penuh rasa bangga dan berjiwa bangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata semangat persaudaraan yang kukuh mampu memperkuatkan lagi integrasi nasional dengan erti merdeka yang sebenar antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Fadillah turut mengajak rakyat mengenang jasa dan pengorbanan Perdana Menteri Pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan tokoh-tokoh Sabah dan Sarawak yang telah menjayakan pembentukan Malaysia.

“Tautkan kembali ikatan persaudaraan dan keakraban kaum yang pelbagai di Malaysia. Hentikan sentimen 3R (raja, agama, dan kaum) yang hanya menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

“Kerjasama dan perpaduan perlu dibina bersama oleh semua kaum tanpa rasa curiga dan iri hati kerana perjalanan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran tidak boleh dilakukan secara bersendirian,” katanya menerusi perutusan Hari Malaysia di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata seluruh rakyat Malaysia harus menghargai setiap perkara yang negara miliki melalui semangat kebersamaan kerana kekukuhan dan kemajuan dikecapi negara adalah hasil perjuangan bersama.

Katanya, Hari Malaysia harus menjadi medan untuk mengintegrasikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung ke arah agenda pembangunan yang lebih berdaya maju, demi kelangsungan negara bangsa Malaysia yang tercinta.

“Marilah kita semua menghayati makna Hari Malaysia supaya generasi akan datang dapat memiliki Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Hari ini, seluruh rakyat negara ini meraikan Hari Malaysia dengan sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching malam ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengajak rakyat menghayati erti sambutan Hari Malaysia yang bersejarah.

“Walaupun kita lahir pelbagai dan berbeza (latar belakang) bukan bermakna ia menjadi kekangan untuk kita mengekalkan keharmonian yang utuh terjalin dalam kalangan keluarga besar kita.

“Semarakkan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini sebagai bukti kecintaan kita pada negara seiring dengan tema sambutan #MalaysiaMADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )