Hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan: “Duduklah diam-diam di rumah” – Muhyiddin

Hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan: “Duduklah diam-diam di rumah” – Muhyiddin

KUALA LUMPUR,. Perintah Kawalan Pergerakan memasuki hari kedua hari ini dengan orang ramai diminta terus berada di rumah masing-masing bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Perintah Kawalan Pergerakan ini memerlukan kerjasama orang ramai agar tidak bergerak ke merata-rata tempat kecuali bagi membeli keperluan asas.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya berulang kali meminta dan merayu kepada seluruh rakyat supaya duduk diam-diam di rumah dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac.

“Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu ke mana-mana. Dengan cara ini saudara saudari terhindar daripada jangkitan COVID-19 dan penularan wabak ini insya-Allah dapat dibendung. Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Tujuannya bukan untuk membolehkan saudara saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasar raya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan. Bukan. Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. Stay at home and protect yourself and your family (Duduklah di rumah, lindungilah diri sendiri dan keluarga),” tegas Muhyiddin dalam perutusannya itu.

Muhyiddin beberapa kali menyebut ‘stay at home’ dalam perutusannya kerana masih ramai rakyat Malaysia yang kurang memahami atau masih memandang ringan tujuan utama kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Gesaan perdana menteri itu berikutan ramai rakyat Malaysia dilaporkan berpusu-pusu memenuhi stesen-stesen pengangkutan awam atau bersesak di jalan raya seolah-olah mengambil kesempatan balik kampung menjelang hari penguatkuasaan Perintah Larangan Pergerakan dan tindakan itu boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

Sedangkan tegas Muhyiddin, tujuan penting pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini ialah untuk memutuskan rangkaian jangkitan atau ‘break the chain of infection’ supaya jumlah yang dijangkiti wabak COVID-19 itu dapat dikurangkan.

Tempoh dua minggu atau 14 hari pelaksanaan perintah larangan itu diambil kerana ia adalah tempoh hayat inkubasi (incubation) COVID-19 di mana simptom jangkitan hanya muncul selepas tempoh itu.

Jadi kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom akan berjaya diasingkan untuk diberi rawatan, menjadikan Malaysia bebas daripada COVID-19.

Muhyiddin turut memberi ingatan awal mengenai kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sekarang akan dilanjutkan sekiranya ia gagal mengekang penularan wabak COVID-19 ini.

“Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan. Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengasingkan diri dan keluarga daripada terdedah kepada virus COVID-19 dengan berada di rumah,” jelas Muhyiddin.

Permintaan supaya rakyat duduk di rumah diam-diam kata Muhyiddin nampak mudah dan remeh tetapi itulah perkara penting yang mesti lakukan untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Sebagai Perdana Menteri, saya ada tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara kita. Tetapi saya tidak mungkin dapat melaksanakan tugas ini bersendirian. Saya memerlukan sokongan semua,” kata Muhyiddin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )