Hari Ke-11, nama Mak Cik Kiah terus disebut sana sini
KUALA LUMPUR,. Hari ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara memasuki hari ke-11, dan pastinya di dada-dada akhbar berkisar mengenai Mak Cik Kiah.
Sejak semalam nama Mak Cik Kiah menjadi sebutan, malah turut menjadi sohor kini atau ‘trending’ di laman sosial Twitter, selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut namanya ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN).
Analogi penjual pisang goreng bernama Mak Cik Kiah digunakan Muhyiddin bagi memperjelas contoh manfaat PRIHATIN yang diyakini mampu membawa senyuman kepada rakyat dalam tempoh mencabar akibat penularan COVID-19.
Pakej yang berjumlah RM250 bilion itu dibentangkan bagi manfaat rakyat dengan tiada golongan akan tercicir, yang lebih separuh daripada peruntukan itu iaitu hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat dan meringankan beban yang ditanggung.
Memasuki hari ke-11, sepatutnya tahap kepatuhan rakyat menjadi semakin tinggi, namun semalam menyaksikan masih ada kalangan rakyat yang terus berdegil dan ingkar untuk mematuhi PKP, hinggakan ditangkap pihak berkuasa.
Sehingga pukul 6 petang semalam, seramai 88 individu di tujuh negeri ditahan pihak berkuasa atas kesalahan berkaitan penguatkuasaan PKP dengan Sarawak mencatat jumlah tertinggi iaitu 37 orang.
Antara kesalahan ialah sedang bersiap sedia untuk mengadakan sambutan hari jadi, berkumpul dan melepak di tempat awam, bermain sepak takraw bersama rakan-rakan, berkumpul sambil minum arak, berjoging dan bermain bola sepak di padang.
Tindakan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan arahan PKP dipatuhi terus terbukti, apabila semakin ramai individu yang gagal mematuhi arahan itu direman, antaranya 14 lelaki berumur antara 17 dan 40 tahun di Kota Bharu, Kelantan, yang direman antara tiga dan empat hari bermula semalam setelah gagal mematuhi PKP.
Boleh lihat bahawa kerajaan dan pihak berkuasa terus-menerus tanpa jemu dan tanpa penat mengingatkan setiap rakyat untuk mematuhi PKP, dan sekiranya anda mahu diri sendiri, keluarga dan negara bebas daripada COVID-19 sebelum hari PKP berakhir, maka patuhi dan bantu Malaysia dengan duduk di rumah.
— BERNAMA