Hanya 10 kes baharu Covid-19 semalam

Hanya 10 kes baharu Covid-19 semalam

PUTRAJAYA,. Bilangan kes baharu positif Covid-19 negara ini terus menurun dengan 10 kes dilaporkan semalam iaitu kes harian terendah setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes baharu itu adalah penularan tempatan dengan lima daripadanya membabitkan warga asing.

Beliau berkata, kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini mencecah 7,629 kes.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 1,345 dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, lapan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini semalam.

Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 115 kes iaitu 1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 86 kes pulih dan dibenar keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif kes discaj kini adalah sebanyak 6,169. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )