Hamilton raih kemenangan ke-88 dalam Formula Satu

Hamilton raih kemenangan ke-88 dalam Formula Satu

BARCELONA,. Lewis Hamilton meraih kemenangan ke-88 beliau dalam perlumbaan Formula Satu (F1) dan juga satu rekod podium ke-156 pada Ahad semasa perlumbaan Grand Prix Sepanyol pada Ahad.

Ia adalah kemenangan kelima Hamilton di Sepanyol dan yang keempat berturut-turut, melanjutkan rekod beliau menamatkan perlumbaan dengan mata sebanyak 39 kali.

Hamilton melepasi garisan penamat dengan kelebihan 24 saat berbanding pencabar terdekat, Max Verstappen dari pasukan Red Bull, yang menamatkan perlumbaan 20 saat di hadapan pemenang tempat ketiga yang juga rakan sepasukan Hamilton di Mercedes, Valtteri Bottas.

Hamilton berkongsi 155 kali menaiki podium dengan bintang legenda Michael Schumacher sebelum perlumbaan dan dengan itu beliau akan memburu lebih banyak lagi rekod Schumacher pada tahun ini.

Kemenangan juga menjarakkan kedudukan beliau selaku pendahulu keseluruhan kategori pemandu dengan kelebihan 37 mata di hadapan Verstappen.

Sergio Perez, yang kembali berlumba bersama Racing Point selepas tidak berlumba pada dua perlumbaan kerana dijangkiti koronavirus (COVID-19), menamatkan perlumbaan di tempat keempat, di hadapan rakan sepasukan Lance Stroll dan Carlos Sainz dari pasukan McLaren.

“Wow, saya berada di zon berbeza,” kata Hamilton.

“Saya tidak langsung tahu ia adalah pusingan terpantas. Terima kasih semua orang. Saya hanya mencuba dan ia sangat bagus.”

Verstappen berpuas hati dengan keputusan di tepat kedua.

“Untuk memisahkan dua pemandu Mercedes adalah yang terbaik yang kami mampu lakukan hari ini,” kata pemandu dari Belanda itu, yang muncul juara Grand Prix Ulang Tahun ke-70 di Silverstone minggu lepas.

“Kami tidak mempunyai kepantasan Lewis dan ia adalah penting untuk memintas Valtteri di permulaan perlumbaan.”

Bottas berkata: “Saya hilang tempat di permulaan perlumbaan dan ia sangat sukar untuk memintas di litar ini.”

Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, pada musim terakhir bersama Ferrari dan dikaitkan dengan satu perpindahan ke pasukan Aston Martin tahun hadapan, menamatkan saingan di tempat ketujuh, di hadapan Alex Albon (Red Bull), Pierre Gasly (Alpha Tauri) dan Lando Norris (McLaren).

Pada satu lagi petang yang pantas di Litar Catalunya, dengan suhu litar mencecah 50 darjah Selsius dan suhu udara pada 31 darjah, Hamilton bermula sempurna dari petak pertama ke-92 beliau tetapi di belakangnya, Bottas, bermula hambar membolehkan Verstappen dan Stroll memintas di selekoh pertama, menyebabkan Bottas tercicir ke kedudukan keempat.

Kesemua pemandu menyedari ancaman tayar cepat haus dalam cuaca yang pantas, sesuatu yang memujuk Hamilton untuk mengawal pecutan walaupun mendahului kedudukan.

Bottas berjaya memintas Stroll untuk ke kedudukan ketiga sebelum cuba untuk mengejar Hamilton dan Verstappen.

Menjelang pusingan ke-12, Hamilton semakin jauh di hadapan dengan kelebihan empat saat sementara Bottas semakin menghampiri Verstappen dengan kurang dua saat.

Tiga kedudukan teratas tidak berubah sehingga ke garisan penamat, walaupun Verstappen ada kembali ke pit untuk menukar tayar dan berjaya mengekalkan kedudukannya selepas memiliki jarak masa yang agak panjang berbanding Bottas sebelum itu. — AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )