Hakim ingatkan orang awam tidak buat kenyataan, komen berhubung kes Bella

KUALA LUMPUR,. Hakim Mahkamah Sesyen hari ini mengingatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau komen di media sosial berhubung perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Izralizam Sanusi yang mendengar perbicaraan kes itu berkata beliau akur bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bersuara, namun terdapat undang-undang yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang melampaui batas dalam penulisan, hantaran, komen dan lain-lain di media sosial.

“Mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang awam terutama yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat sebarang komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.

“Sekiranya perkara-perkara tersebut berlaku, saya percaya pihak yang mempunyai kuasa untuk mendakwa iaitu pihak pendakwaan boleh mengambil tindakan sewajarnya dengan merujuk kepada individu-individu terbabit secara spesifik yang membuat hantaran kerana jelas melanggar undang-undang menghina mahkamah dan subjudis,” katanya.

Izralizam berkata perbicaraan masih lagi berjalan dan tertuduh (Siti Bainun) juga belum didapati bersalah malah saksi pendakwaan kelima (SP5), Yasmin Nahar Mahmood masih belum selesai memberi keterangan.

“Jangan melampau atau melebihi undang-undang. Peguam tertakluk kepada etika manakala pendakwaan dan orang awam juga tertakluk pada undang-undang.

“Masih jauh lagi perjalanan kes ini dan SP5 masih dalam pemeriksaan balas, jadi simpan komen-komen yang berbentuk ‘contempt’ (menghina), subjudis atau memfitnah untuk diri sendiri, jangan disebarkan bertujuan mendapat followers dan sebagainya tetapi menjejaskan perjalanan kes ini,” kata hakim.

Izralizam berkata mahkamah perlu mengingatkan bahawa kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan termasuk kandungan yang menghina mahkamah dan fitnah yang dianggap melanggar undang-undang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jangan membuat komen-komen yang mengganggu saksi, saksi pula tidak sihat, ditambah dengan komen-komen seumpama itu. Buat masa ini saya tidak mahu mengambil sebarang tindakan kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya yang turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan dokumen-dokumen di laman media sosial yang memperjudiskan kes ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Azizah Mohamad memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat komen-komen di laman media sosial yang dibuat oleh orang awam berhubung kes tersebut.

“Saya memohon mahkamah untuk memberi amaran kepada orang awam supaya tidak buat hantaran yang boleh memprejudiskan kes ini, ” katanya.

Peguam pemerhati yang dilantik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Datuk Baljit Singh Sidhu memberitahu mahkamah bahawa hantaran tersebut turut membabitkan pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan.

Sementara itu, TPR Zahida Zakaria memaklumkan mahkamah bahawa Yasmin hadir ke mahkamah hari ini namun tidak dapat memberi keterangan kerana tidak sihat dan turut mengalami tekanan darah rendah.

“Semalam, Yasmin telah mendapat rawatan di klinik dan diberikan sijil cuti sakit, saksi mengalami tekanan darah rendah dan dilihat tidak berapa sihat untuk memberi keterangan. Pihak kami memohon untuk memanggil saksi lain iaitu pegawai tangkapan ASP Nazatul Madiyah Manaf dan Detektif Koperal Sadzly Sairen,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah (D11) Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak di Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (IPK), Nazatul Madiyah berkata beliau telah menerima arahan untuk menangkap seorang wanita di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada 6 Julai 2021 yang kemudiannya dicamkan sebagai Siti Bainun.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata selepas tangkapan dibuat beliau telah menyerahkan laporan tangkapan kepada pegawai penyiasat kes dikenali sebagai Inspektor Suhaili, namun pegawai polis itu memberitahu Siti Bainun tidak direman kerana sedang menjalani kuarantin disebabkan COVID-19.

Sementara itu, Sadzly, yang juga jurufoto memaklumkan kepada mahkamah beliau telah diarahkan oleh pegawai penyiasat untuk mengambil gambar berkaitan dengan kes tersebut.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ketujuh itu bersetuju dengan cadangan peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun bahawa beliau (Sadzly) tidak mengambil gambar beberapa barangan seperti cawan yang didakwa digunakan untuk menyimbah air panas kepada Bella.

Saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam selain dua cawan tersebut, barang lain yang tidak diambil gambar termasuk batang penyodok, besi penyangkut langsir, tali rafia, kain perca pengikat mulut dan dua cecair pelembut fabrik disebabkan tiada arahan pihak atasan dan aduan daripada pengadu.

Siti Bainun, 30, didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada 30 Mei ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )