GrabPay mahu pastikan sistem aplikasi terus stabil, telus

GrabPay mahu pastikan sistem aplikasi terus stabil, telus

BUTTERWORTH, 18 Jan — Peneraju perkhidmatan mobiliti bersepadu di Asia Tenggara, Grab akan memastikan sistem aplikasi e-dompet kendaliannya, GrabPay terus stabil serta telus bagi membolehkan penggunanya menikmati pengalaman urusan tanpa tunai dengan lebih lancar.

Pengarah Urusan GrabPay, Ooi Huey Tyng hari ini berkata GrabPay telah menerima ratusan ribu permohonan bagi menerima RM30 dalam e-dompet yang menjadi sebahagian daripada kempen inisiatif e-Tunai Rakyat.

Malah daripada jumlah itu, kira-kira satu daripada empat pengguna yang membuat permohonan itu adalah pengguna GrapPay.

“Sejak pelancaran inisiatif itu pada 15 Jan, kami ingin amat gembira untuk memaklumkan bahawa pengguna baharu GrabPay telah meningkat enam kali ganda termasuk pengguna tunai Grab yang beralih kepada e-dompet GrabPay,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada hari pertama pelaksanaan kempen e-Tunai Rakyat itu, salah satu daripada tiga pengendali e-dompet tersebut telah mengalami masalah teknikal sementara yang menyebabkan pengguna gagal membuat pengesahan akaun bagi baki RM30 akibat lonjakan mendadak jumlah penggunanya.

Sementara itu, beliau berkata GrabPay dan saingannya perlu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menerapkan amalan tanpa tunai atau memanfaatkan kemudahan pembayaran elektronik dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, setakat ini, penerimaan e-pembayaran di Malaysia mencecah lapan peratus namun berharap dapat melipatgandakan jumlah itu selepas kempen berkenaan.

“Kami tidak mahu pengguna hanya memanfaatkan aplikasi itu selama sehari dua selepas inisiatif RM30 itu. Kami mahu manfaat amalan tanpa tunai itu dipraktikkan untuk tempoh yang panjang dan meneruskan penggunaan e-dompet itu walaupun selepas berakhirnya kempen itu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )