golongan tidak mampu dapatkan bantuan guaman – PM

golongan tidak mampu dapatkan bantuan guaman – PM

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dalam usaha membantu golongan yang tidak berkemampuan, untuk mendapatkan bantuan guaman.

Beliau berkata sejak mula operasi YBGK pada 2012, penyediaan khidmat itu telah menyaksikan ratusan ribu orang telah mendapat pembelaan dalam prosiding jenayah.

“Menerusi pengalaman saya yang tidak banyak, tidak terlalu terhad sangat di Sungai Buloh.. saya telah lihat beratus-ratus banduan diberikan peluang untuk membela diri bersama dalam perbicaraan yang cukup adil.

“… sehubungan itu saya terpanggil untuk mengumumkan satu lagi tambahan RM10 juta bagi tujuan ini,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata akses kepada keadilan telah ditingkatkan dengan ketara, dengan YBGK menjadi pembekal bantuan guaman terbesar dalam negara, dan kerajaan juga memperakui peranan yang dimainkan Badan Peguam Malaysia dalam inisiatif ini.

Turut hadir Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Sementara itu, Anwar berkata sudah tiba masanya untuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dikaji semula dengan tujuan untuk meluaskan perlindungan dan ruang untuk pendedahan kepada agensi yang sesuai tanpa rasa takut terhadap hukuman.

Katanya dari sudut sejarah, beliau berkata rasuah menjadi salah satu punca utama kejatuhan Empayar Rom, dan juga empayar beriktunya.

Anwar berkata bukan hanya kewujudan rasuah sahaja yang perlu dibimbangkan, tetapi skala dan kesan global jangka panjang adalah sesuatu yang harus membimbangkan semua.

“Banyak yang telah diperkatakan mengenai penekanan saya terhadap isu rasuah, malah tiada satu hari pun berlalu tanpa saya bercakap mengenai usaha memerangi rasuah,” katanya.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui media berkata pemansuhan hukuman mati mandatori tidak memberi implikasi kepada peningkatan kes jenayah pada masa akan datang.

“Hukum gantung masih ada, cuma tidak diputuskan dalam undang-undang automatik, sebaliknya harus didengar oleh hakim. Saya rasa itu lebih adil,” kata Anwar.

Pada 3 April lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang antara lain bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.

Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Susulan itu, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) mula berkuat kuasa pada 4 Julai lepas.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )