Golongan berisiko diutamakan saringan COVID-19

Golongan berisiko diutamakan saringan COVID-19

PUTRAJAYA,. Proses saringan COVID-19 akan diutamakan kepada golongan berisiko, berbanding pendekatan pengesanan secara besar-besaran.

Langkah itu diputuskan selepas rekod kementerian menunjukkan bahawa kadar individu disahkan positif daripada 83,488 kes yang disaring adalah hanya 4,817 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkiraan lanjut mendapati perbandingan antara jumlah yang disaring dan disahkan positif adalah 5.8 peratus.

“Bagaimanapun, kita merekodkan penemuan berbeza apabila buat saringan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), iaitu dengan melakukan ujian terhadap semua, iaitu individu bergejala, tiada gejala dan golongan berisiko.

“Penemuan melalui saringan di kawasan PKPD ialah hanya 0.5 peratus, iaitu contohnya daripada 1,000 yang diuji, hanya lima adalah positif COVID-19.

“Apabila tengok balik data, kita dapati kadar 5.8 peratus ini adalah saringan merangkumi pesakit yang disyaki (PUI), kontak rapat dan kumpulan dibawa balik daripada misi bantuan.

“Oleh itu, berdasarkan sumber yang terhad, kita akan melakukan saringan dengan menumpukan golongan berisiko, berbanding buat saringan terhadap semua orang dalam komuniti,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Mengulas laporan media antarabangsa mengenai individu yang disahkan bebas COVID-19 tetapi didapati kembali positif wabak berkenaan, Dr Noor Hisham berkata, ia mungkin berpunca daripada pelbagai faktor.

Beliau berkata, kaedah pengesanan dan ujian terhadap pesakit COVID-19 antaranya memainkan peranan dalam mengesahkan mereka bebas sepenuhnya daripada wabak terbabit.

“Kadang kala virus ini mengalami fasa luput atau menjadi semakin lemah, tetapi mungkin masih boleh berikan bacaan positif.

“Cuma kita kena tengok sama ada ia positif lemah atau positif kuat, namun setakat ini Malaysia belum ada kes sedemikian seperti direkodkan Korea Selatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata ujian saringan yang giat dijalankan di Kampung Baru merekodkan 23 penduduk di kawasan berkenaan positif COVID-19, selain satu kematian.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )