Giliran Johor, Pahang, T’ganu sambut Maal Hijrah norma baharu

Giliran Johor, Pahang, T’ganu sambut Maal Hijrah norma baharu

KUALA LUMPUR,. Sambutan Maal Hijrah 2020/1442 dalam situasi kebiasaan baharu ketika negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 diteruskan semalam di beberapa negeri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) .

Sambutan hari penting dalam kalendar umat Islam itu bermula kelmarin di peringkat kebangsaan di ibu negara dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah dan Sarawak turut mengadakan sambutan berkenaan kelmarin dengan majlis mematuhi SOP antaranya penjarakan fizikal dan hadirin memakai pelitup muka.

Semalam di JOHOR BAHRU, sambutan peringkat negeri diadakan di Dewan Pusat Islam Iskandar dengan dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad yang memberikan amanat mengenai ‘Islam Memacu Kemakmuran’ sebagai idea besar untuk Islam di negeri ini dan merupakan cara untuk menegakkan syiar Islam dengan berhikmah serta menyeluruh.

Pada majlis itu bekas mufti Negeri Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Johor dengan menerima wang tunai RM10,000, sijil serta hadiah iringan bernilai RM2,000.

Anugerah Saudara Kita pula diterima Nur Salina Pei Abdullah manakala anugerah Maal Hijrah Orang Asli diterima Yusri Abdullah, dengan masing-masing menerima wang tunai RM2,000, sijil serta hadiah iringan bernilai RM1,000.

Sementara itu di PAHANG Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Sambutan sederhana dengan tema ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’ itu menyaksikan Tengku Hassanal berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada bekas pesuruhjaya PAS Pahang Mohd Baqi Othman, 80, sebagai menghargai sumbangannya kepada pendidikan Islam dan dakwah di negeri ini.

Mohd Baqi merupakan pengasas kepada dua sekolah agama di Pahang iaitu di Sungai Gau, Temerloh dan Kampung Lanting, Chenor di Maran dan mengetuai PAS Pahang selama enam tahun dari 1993. Beliau juga merupakan penerima anugerah Tokoh Ulamak Istiqomah PAS pada tahun lalu.

Di TERENGGANU pula, Pengerusi Lembaga Pengarah Kemaman Supply Base (KSB), Hussin Ismail, 65, yang sangat aktif dalam kerja amal dan kebajikan terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah, sepasang sepersalinan dan sijil penghargaan.

Tokoh Imam Cemerlang pula dianugerahkan kepada Mohamad Ghani iaitu Imam Masjid Kampung Bukit Kandis di Kuala Nerus manakala Tokoh Bilal Cemerlang dianugerahkan kepada Abdul Rahman Ishak yang bertugas di Masjid Kampung Kubang Bujuk, Manir.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Kuala Terengganu.

Kelmarin ucapan tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah membanjiri media sosial apabila ‘jeneral perang’ negara dalam menghadapi COVID-19 itu diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )