Ganesh Moorthy hilang dua motosikal dalam kebakaran di PPR Gombak Setia

Ganesh Moorthy hilang dua motosikal dalam kebakaran di PPR Gombak Setia

KUALA LUMPUR,. Oktober lepas, penghantar barangan bebas Ganesh Moorthy menjadi bahan berita selepas seorang pengusaha makanan tambahan memuji beliau disebabkan kecekapan, ketekunan dan kesopanannya.

Hari ini, Ganesh sekali lagi menjadi bahan berita namun atas sebab yang berbeza, beliau telah kehilangan dua buah motosikal dalam insiden kebakaran akibat perbuatan khianat.

Ganesh telah berkongsi nasib malang yang menimpa dan meluahkan kesedihannya dalam akaun Facebook selepas motosikal yang menjadi tempat beliau bergantung harap mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup musnah terbakar di lot parkir Projek Perumahan Rakyat Gombak Setia.

Dilaporkan sebanyak lapan buah kereta dan 53 motosikal musnah dalam kebakaran yang berlaku sebelum subuh itu dan Ganesh, anak kelahiran Puchong, mengesyaki bahawa insiden tersebut berpunca daripada pertelingkahan antara dua pihak.

“Bayangkan, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab itu, beberapa keluarga telah terkesan daripada perbuatan ini.

“Seperti mana yang ramai tahu, pendapatan saya adalah 100 peratus dengan membuat perniagaan penghantaran. Kini, kenderaan yang memberi saya rezeki selama ini telah tiada. Barangan pejabat yang saya simpan di ruangan belakang motor juga habis terbakar.

“Saya berasa amat sedih tetapi saya tahu Tuhan tidak menjadikan sesuatu tanpa ada hikmah di sebaliknya. Jadi saya kena terus cekalkan hati dan kuatkan semangat untuk teruskan perjuangan hidup,” katanya.

Komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pegawai Kanan Bomba Zaid Zainal berkata empat jentera dengan kekuatan 24 anggota dari Balai Bomba Wangsa Maju, Gombak Selatan dan Setapak telah dikejarkan ke lokasi pada 5.05 pagi.

Mereka mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal api sebelum berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada 5.47 pagi.

Kesemua 53 motosikal musnah sama sekali manakala lapan kereta pula rosak teruk antara 60 hingga 80 peratus.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)