Gagal sudahkan peluang terhidang punca Perak FC II catat keputusan seri

Gagal sudahkan peluang terhidang punca Perak FC II catat keputusan seri

IPOH,. Kegagalan menterjemahkan peluang kepada jaringan gol mengakibatkan pasukan Perak FC II terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Kelantan FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Perak di sini malam tadi.

Pengendali Perak FC II Syamsul Saad berkata pasukannya beberapa kali mendapat peluang terhidang di hadapan pintu gol lawan terutama pada separuh masa pertama namun barisan serangan gagal menggunakan kesempatan berkenaan.

“Boleh katakan setiap perlawanan sebelum ini pun kami selalu dapat peluang di separuh masa pertama. Kadang-kadang sampai dua atau tiga kali dapat peluang satu lawan satu dengan penjaga gol lawan tapi sampai sekarang kami masih gagal gunakan peluang itu.

“Kalau kami gagal guna peluang yang ada, ia akan memberi tekanan kepada pemain pertahanan untuk memastikan pintu gol kami pula tak bocor. Jadi, saya rasa benda ini sedikit sebanyak sudah jadi satu masalah pada pasukan saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan yang berlangsung malam tadi, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-56 manakala gol pasukan Perak FC II diperoleh 10 minit kemudian menerusi pemain tengah Mohamad Aizat Safuan Razali.

Syamsul berkata meskipun sedikit kecewa dengan keputusan perlawanan namun barisan pemain mudanya masih berjaya mengimbangi asakan pihak lawan yang menurunkan empat tonggak import dalam perlawanan itu.

“Sasaran kami memang kami ingin menang perlawanan ini sebab perlawanan sebelum ini menentang mereka di Kota Bharu kami menang. Apa pun saya perlu puji pemain saya yang tetap berani bermain pada malam ini (semalam) dan pada masa yang sama hasilkan banyak ancaman ke kubu gol Kelantan,” katanya.

Mengulas perlawanan menentang Sarawak United pada 25 Julai ini, bekas pemain kebangsaan itu berkata fokus utama adalah untuk memperbaiki kekurangan dari aspek serangan dan beliau berharap pasukannya akan berjaya mengutip mata penuh.

“Kami kena buat yang terbaik untuk terus kekal dalam saingan liga ini dan pada waktu ini kedudukan kami juga belum berada pada tahap yang selamat,” katanya.

Perak FC II kini menduduki tempat kedua tercorot daripada 11 pasukan dalam saingan Liga Premier, dengan mengumpul 10 mata daripada 11 perlawanan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )